ATLET Johor sekali lagi mengharumkan nama negara apabila mencatat kutipan pingat yang membanggakan pada temasya Sukan SEA 2025, sekali gus mengukuhkan reputasi negeri itu sebagai antara penyumbang utama kepada kejayaan sukan Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, pencapaian tersebut merupakan suntikan besar kepada pembangunan sukan di negeri berkenaan.
Menurut beliau, Johor telah lama dikenali sebagai nadi penting kepada landskap sukan negara, dengan seramai 72 atlet kelahiran Johor mewakili Malaysia pada Sukan SEA Thailand, selain 17 atlet yang bertanding di bawah panji negeri.
BACA LAGI: Permaisuri Thailand beraksi di Sukan SEA ke-33
BACA LAGI: 10 bangunan ikonik 'menyala', raikan Malaysia jadi hos Sukan SEA ke-34
"Selain itu, dua jurulatih daripada persatuan sukan Johor turut dipilih untuk berkhidmat sebagai jurulatih kebangsaan, sekali gus mencerminkan pengaruh Johor yang semakin meluas dalam arena sukan tanah air," katanya.
Mohd Hairi menegaskan kerajaan negeri akan terus memperkukuh program pembangunan sukan di peringkat akar umbi dan elit bagi memastikan Johor kekal sebagai saluran utama melahirkan bakat berpotensi tinggi.

Seramai 72 atlet kelahiran Johor mewakili Malaysia pada Sukan SEA Thailand.
Beliau berkata, atlet Johor memainkan peranan penting dalam menyumbang pingat emas menerusi beberapa acara berpasukan dan individu termasuk hoki, karate dan sepak takraw.
Sejarah turut tercipta apabila skuad Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) wanita negara, yang dibarisi seorang pemain dari Johor, meraih pingat emas e-sukan pertama buat Malaysia di temasya itu.
Selain itu, pasukan bola jaring kebangsaan, acara keirin dan pecut berpasukan lelaki berbasikal, serta kriket lelaki kategori T20 dan T10 turut mencatat kejayaan manis dengan meraih pingat emas.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah.
"Pingat perak pula diperoleh hasil persembahan cemerlang dalam e-sukan MLBB lelaki, pingpong beregu campuran, hoki dalam dewan, kriket wanita T20 serta acara lari berganti 4x100 meter lelaki," tambahnya.
Menurut beliau, atlet Johor juga menyumbang kutipan pingat gangsa yang besar merentasi pelbagai jenis sukan, sekali gus membuktikan kepelbagaian kekuatan negeri itu dalam sukan tradisional dan baharu.
Antara acara yang menyaksikan kemenangan pingat gangsa termasuk pistol angin wanita, berkanu, bola sepak lelaki, futsal serta karate lelaki bagi kategori berpasukan dan individu.

Penyokong bersorak semasa perlawanan akhir bola jaring menentang Singapura.
Teqball, pingpong wanita, menembak sporting clays lelaki dan sepak takraw chinlone turut mencatat kedudukan podium.
Mohd Hairi berkata, pingat gangsa juga dimenangi dalam muay thai, sukan ekstrem, kriket wanita T10, bola keranjang wanita 3 lawan 3, badminton berpasukan wanita, selain acara pecut 100 meter dan 200 meter lelaki.
"Agihan pingat yang meluas merentasi pelbagai sukan ini mencerminkan pendekatan holistik Johor dalam pembangunan atlet, merangkumi aspek teknikal, fizikal dan mental," jelasnya.

Persembahan 'Rhythm In Harmony' Malaysia.
Beliau berharap kejayaan di Sukan SEA 2025 mampu menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda Johor untuk menceburi bidang sukan secara serius dan mengejar kecemerlangan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
"Johor akan terus berdiri teguh di belakang para atlet dan melabur dalam pembangunan sukan demi kejayaan jangka panjang," katanya sambil menyifatkan atlet sebagai wira dan wirawati sukan negara yang perlu terus melangkaui batas dan mencipta penanda aras baharu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
