PENYERANG import Sabah dari Bosnia, Ajdin Mujagic melalui permulaan musim yang mengecewakan akibat masalah kecederaan ringan, namun menjelang penghujung 2025, namanya kini menjadi sebutan ramai.
Pemain berusia 27 tahun itu muncul sebagai antara pembelian terbaik musim ini apabila merekodkan pencapaian mengagumkan dengan 15 gol dalam 16 perlawanan merentasi semua kejohanan.
Aksi paling menonjol hadir dalam saingan Piala FA apabila Mujagic melonjakkan nilai pasarannya dengan menjaringkan sembilan gol dalam enam perlawanan, sekali gus membantu Sabah mara ke perlawanan akhir.
BACA LAGI: Sumandak Sabah patah hidung di Sukan SEA pilih berdamai demi aksi LWN
BACA LAGI: Jangan fikir Sabah pasukan sama di final Piala FA — TMJ
Walaupun perjalanan dongeng itu berakhir dengan kekalahan 0-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Disember, pengaruh Mujagic sepanjang kempen tersebut tidak dapat dinafikan.
"Selepas berdepan kecederaan ringan pada awal musim, saya gembira dapat menemui rentak permainan dan berjaya menjaringkan 15 gol," kata Mujagic, yang juga pernah muncul penjaring terbanyak Liga Divisyen Dua Bosnia musim 2022/2023 bersama Zvijezda Gradacac dengan 20 gol.
"Menjaringkan gol adalah tugas saya, dan saya berharap dapat meneruskannya hingga ke penghujung musim," katanya.
Selepas gagal meraih kemenangan dalam lapan perlawanan awal Liga Super, Sabah bangkit dengan memenangi tiga daripada empat perlawanan terakhir dengan Mujagic meledak lima gol dalam tempoh tersebut.
Selain itu, penyerang kelahiran Tesanj berkenaan turut memuji kualiti liga tempatan.
"Saya sangat berpuas hati dengan kualiti Liga Malaysia. Ia sangat kompetitif, berintensiti tinggi, dengan tempo permainan yang baik serta pemain-pemain berkualiti.
"Berbanding liga Bosnia atau Croatia, gaya permainan memang berbeza, namun kualiti dan intensitinya tinggi, dan setiap perlawanan mempunyai cabaran tersendiri," ujarnya.
Selain menjaringkan gol, Mujagic memainkan peranan penting sebagai penyerang sasaran Sabah atau turut sinonim dengan peranan ‘target man’ susulan terlibat dalam pertarungan fizikal dengan bek tengah lawan serta menjadi fokus utama serangan pasukan.
"Terdapat ramai pemain pertahanan berkualiti dalam liga ini, dan beberapa perlawanan benar-benar mencabar.
"Sebagai penyerang dan penyerang sasaran, anda sentiasa terlibat dalam duel. Ia satu cabaran besar, tetapi perlawanan seperti ini membantu anda menjadi pemain yang lebih baik," tambahnya.

Mujagic (jersi putih) berpengalaman bermain di Bosnia. — Instagram/Ajdin Mujagic
Mengulas mengenai pemergian Pengarah Teknikal Sabah, Scott Ollerenshaw dan Ketua Jurulatih, Jean-Paul de Marigny, Mujagic berkongsi bahawa kedua-duanya telah membawa haluan masing-masing.
"Sudah tentu kami sedih kerana JP (Jean-Paul) dan Scott tidak lagi bersama kami, kerana kedua-duanya banyak menyumbang kepada kelab.
"Ia satu kehilangan, namun sebagai satu pasukan, kami perlu terus melangkah ke hadapan dan kekal bersatu dalam usaha menamatkan musim di kelompok tiga teratas, katanya. — The Star/T. AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
