Tonton aksi Selangor berdepan Melaka, khabar angin Wenzel-Halls ke Lembah Klang kembali bertiup kencang


  • Podium
  • Isnin, 29 Dis 2025

Wenzel-Halls (kiri) sudah beberapa kali dikaitkan dengan perpindahan ke Selangor FC sejak musim lepas.

MENJELANG jendela perpindahan pemain kedua Liga Super, Selangor FC dilihat begitu bersemangat dalam mencari pemain baharu dalam misi merebut slot ke pentas Asia musim depan.

Ketika ini, skuad Gergasi Merah dianggap serba mencukupi dalam semua posisi, namun tiada kepelbagaian boleh ditampilkan ketua jurulatih, Christophe Gamel kerana kekurangan pilihan.

Hal tersebut dapat dikesan terutamanya di posisi sayap serangan kerana mereka begitu berharap kepada gandingan Faisal Halim dan Alvin Fortes.

BACA LAGI: Penang mungkin tak cukup bagus, cuma 3 penyerang termasuk Wenzel-Halls setidaknya cipta legasi tersendiri

BACA LAGI: Sekali lagi hadir ke Stadium Bandaraya, 'ubi muda' JDT sertai Wenzel-Halls di Penang musim depan?

Jentera serangan skuad Gergasi Merah perlu menampilkan dimensi berbeza.

Jadi, sekiranya mahu menampilkan dimensi baharu di atas padang, Selangor FC perlu mengenal pasti penyerang sayap baharu yang tidak memerlukan masa lama untuk menyesuaikan diri.

Antara pilihan utama sudah tentu tonggak serangan Penang FC, Dylan Wenzel-Halls yang sudah berkali-kali dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan gergasi Liga Super, termasuk Selangor FC sejak musim lepas.

Ini kerana kualiti dan kebolehannya mampu membawa mana-mana pasukan ke tahap lebih tinggi kerana dia dapat beraksi cemerlang dalam skuad Harimau Kumbang yang bergelut.

Selain mempunyai deria tajam di hadapan pintu gol, pemenang Piala AFC 2023/24 itu turut dikenali sebagai pemain yang bijak memperdayakan pihak lawan menerusi gelecekan.

Kebolehan itu mencetuskan ura-ura bahawa dia menjadi sasaran utama Selangor FC pada jendela perpindahan sebelum ini, namun tiada sebarang perjanjian dimeterai.

Wenzel-Halls meluangkan masa menonton perlawanan antara Selangor FC dan Melaka FC.

Tetapi, baru-baru ini, khabar angin itu kembali hangat selepas pemain dari Australia itu seakan-akan menawarkan diri untuk ke Lembah Klang setelah mengikuti skuad Gergasi Merah secara dekat.

Ini selepas Wenzel-Halls membuat perkongsian menerusi Instastory peribadinya ketika dia sedang menonton aksi antara Selangor FC dan Melaka FC pada Ahad.

"Aksi bola sepak pada Ahad malam," tulisnya ringkas dengan kedudukan ketika itu 3-0 berpihak kepada skuad Gergasi Merah memasuki minit ke-33 perlawanan.

Hantaran terbabit kembali mencetuskan khabar angin dalam kalangan peminat Selangor FC yang terbuka menerima kehadiran bintang berusia 28 tahun itu.

Untuk rekod, sepanjang kira-kira setahun setengah di Utara tanah air, Wenzel-Halls merekodkan 32 penampilan dengan 10 gol dan sembilan bantuan jaringan dicatatkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram