TIADA keperluan untuk membina kompleks sukan baharu di Sungai Petani, Kedah seperti yang dicadangkan oleh Menteri Belia dan Sukan baru-baru ini, tegas atlet sukan lasak negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.
Menurut beliau yang lebih dikenali sebagai Datuk Qobin, ketika negara berdepan kekangan kewangan serta prestasi sukan berprestasi tinggi yang masih belum mencapai sasaran di peringkat antarabangsa, keutamaan negara tidak seharusnya tertumpu kepada pembinaan infrastruktur baharu yang tidak mendesak, sebaliknya perlu memberi fokus kepada pembangunan atlet secara langsung dan berimpak tinggi.
"Jangan hanya kerana beliau Ahli Parlimen yang kini menjadi Menteri Belia dan Sukan, beliau terus membuat cadangan untuk membina segalanya di kawasan Parlimen sendiri secara membabi buta dan membuta tuli tanpa ada asas lain yang lebih kukuh.
BACA LAGI: Akhirnya pecah badi jaringan, Wirtz masih rasa bahagia sejak debut bersama Liverpool
BACA LAGI: ‘Dia mahu ke Piala Dunia’, CEO TFC jelaskan punca pemergian Nurillo
"Jangan ingat apabila memegang jawatan Menteri, terus menggunakan kuasa secara langsung untuk kepentingan sendiri tanpa memikirkan kepentingan awam dan negara yang sepatutnya lebih diutamakan", katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Isnin.
Tambah Datuk Qobin, peruntukan kewangan negara seharusnya disalurkan kepada pembangunan atlet sukan Olimpik dan Sukan Komanwel, program latihan intensif dan pendedahan antarabangsa, kem latihan luar negara serta akses kepada jurulatih bertaraf dunia, dan kebajikan atlet termasuk elaun, insurans, pendidikan serta jaminan kerjaya selepas persaraan.
"Berdasarkan pengalaman saya di peringkat antarabangsa, kejayaan sukan tidak lahir daripada bangunan semata-mata, tetapi melalui pelaburan berterusan terhadap atlet, program dan sistem sokongan yang menyeluruh," katanya.

Datuk Qobin berkata, keutamaan negara tidak seharusnya tertumpu kepada pembinaan infrastruktur baharu yang tidak mendesak.
Selain itu katanya, banyak fasiliti sukan sedia ada di seluruh negara masih belum dimanfaatkan secara optimum.
Jelasnya, penambahbaikan dan pengurusan fasiliti sedia ada adalah jauh lebih menjimatkan serta memberi kesan segera berbanding pembinaan kompleks baharu.
"Saya ingin mengajukan persoalan kepada pihak berkaitan: Adakah pembinaan Kompleks Sukan di Sungai Petani benar-benar akan meningkatkan prestasi atlet negara dan pungutan pingat di peringkat Olimpik serta Komanwel, atau sekadar menjadi projek pembangunan fizikal tanpa impak langsung kepada prestasi sukan negara?", soalnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Belia dan Sukan, agar menilai semula keutamaan perbelanjaan negara dan mengutamakan pelaburan terus kepada atlet serta program prestasi tinggi yang terbukti memberi pulangan kepada negara.
Pembangunan atlet adalah teras kejayaan sukan negara, bukan pembinaan bangunan semata-mata, katanya.
Pada Ahad, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata golongan belia di sekitar Sungai Petani bakal menikmati kemudahan sukan moden apabila sebuah kompleks sukan bernilai RM10 juta dijangka dibina dalam masa terdekat.

Dr Mohammed Taufiq Johari.
Jelasnya, projek di Bandar Puteri Jaya itu kini berada pada peringkat awal pelaksanaan.
"Tapak pembinaannya dikenal pasti berhampiran kawasan Pejabat Penerangan Daerah Kuala Muda. Proses perolehan dan sebagainya sedang berjalan dan saya akan memantau dari semasa ke semasa bersama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan semua pihak, untuk memastikan bahawa projek itu dapat dilaksanakan.
"Peruntukan awal diluluskan ialah RM10 juta, namun jika terdapat sebarang perubahan dari segi perancangan atau pelaksanaan, pengumuman lanjut akan dibuat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
