SEORANG individu dikhuatiri lemas selepas kereta dipandunya dilaporkan terjunam ke dalam Sungai Ampang Jajar di Persiaran Taman Jeragan dekat Alor Setar, Kedah pada Isnin.
Menurut laporan Berita Harian, Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Norazwan Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.37 pagi.
Jelasnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar seramai 19 anggota yang diketuai Ketua BBP Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba I Ismail Mohd Zain tiba di lokasi tidak lama kemudian.
BACA LAGI: [VIDEO] Wanita sempat melambai tangan sebelum kereta terjunam ke dalam sungai di Muar
BACA LAGI: [VIDEO] Keterangan meragukan, polis tahan ibu bapa 2 beradik lemas di Sungai Linggi
“Operasi turut dibantu polis dan Jabatan Laut Malaysia (JLM). Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan melalui talian 999 memaklumkan terdapat kemalangan kereta terbabas dan terjunam ke dalam sungai,” katanya.
Jelasnya lagi, terdapat seorang mangsa di dalam kereta terbabit dan usaha mencari dan menyelamat sedang dilakukan.
Norazwan berkata, sepasukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra dan Sungai Petani serta bot ke lokasi kejadian dan operasi mencari mangsa sedang dilakukan sehingga pukul 2 petang.
Tambahnya, operasi menyelam dilakukan di lokasi kedudukan kereta berkenaan dilaporkan terjatuh bermula pada pukul 12.30 tengah hari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
