Perit diuji banjir, ibu 3 anak di Sitiawan bangkit cari rezeki jual batang buruk demi sara keluarga dan rawat ayah sakit


  • Bisnes
  • Jumaat, 28 Nov 2025

Jualan kuih batang buruk membantu Maisarah sekeluarga bangkit selepas diuji musibah banjir.

SEORANG ibu kepada tiga orang anak bangkit daripada musibah banjir yang menimpa dirinya dan keluarga dalam kejadian di Sitiawan, Manjung, Perak, baru-baru ini dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual kuih tradisional batang buruk.

Wanita tersebut yang dikenali sebagai Maisarah berkata, dia mengambil inisiatif itu untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka sekeluarga yang terjejas teruk akibat banjir buruk itu.

"Saya terima tempahan buat batang buruk sebab nak sara anak-anak dan juga menampung kos perbelanjaan perubatan ayah yang sakit dan terlantar selepas buat pembedahan bypass jantung baru-baru ini," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Impian 11 tahun musnah, peniaga kek cawan di Sungai Petani rugi RM50,000 bisnes kafe terpaksa ditutup

BACA LAGI: Pelanggan bising dicaj nasi lauk RM12, peniaga di medan selera Masjid Jamek pertahan staf

Keadaan baju Maisarah dan anak beranak yang rosak akibat air banjir kotor.

Maisarah berkata, bisnes kecil-kecilan itu juga dibantu suaminya yang tidak dapat bekerja buat masa ini kerana turut terjejas akibat banjir.

Menurutnya, suami yang bekerja dalam bidang perkhidmatan servis penyaman udara tidak dapat memulakan kerja kerana kebanyakan peralatan penting seperti gas, waterjet dan mesin rumput mengalami kerosakan.

"Insya-ALLAH, kami nak kena kumpul modal sikit-sikit untuk beli barang kerja suami supaya dia dapat kerja semula.

"Ketika ini, kami hanya tinggal sehelai sepinggang tapi saya masih kena kuat sebab anak dan ayah sakit bergantung pada saya,” katanya.

Cerita Maisarah lagi, banjir yang datang secara tiba-tiba bukan sahaja memusnahkan punca pendapatan mereka, mahal merosakkan harta benda keluarga. 

Sebahagian barang di dalam rumah termasuk peralatan kerja suami Maisarah yang rosak kerana banjir.

Menurut wanita berkenaan, hampir semua barangan rumah termasuk pakaian, tilam, stok makanan, lampin pakai buang dan barangan bayi rosak teruk selepas ditenggelami air berlumpur.

Lebih perit, kawasan berkenaan berhampiran loji menyebabkan pakaian yang terkena air banjir berbau busuk dan tidak boleh digunakan walaupun telah dibasuh berkali-kali di dobi.

“Baju anak pun habis rosak. Ada yang melekat najis, ada yang berbau kuat. Saya dah basuh dua tiga kali tapi tetap tak hilang. Memang tak sanggup nak pakai balik,” katanya.

Selain menguruskan anak kecil tiga orang, Maisarah memberitahu, ayahnya yang sedang sakit dijadualkan menjalani pemeriksaan di Kuala Lumpur bulan hadapan dan kesemuanya memerlukan perbelanjaan besar.

Maisarah berkongsikan keadaan ayahnya yang menjalani bypass jantung baru-baru ini.

“Saya terduduk. Semua rosak, semua hilang. Waktu bencana melanda hari itu, stok bahan seperti tepung dan sebahagian besar peralatan dapur hanyut dalam banjir.

"Tapi saya tetap usaha, saya dan suami buat balik batang buruk sedikit demi sedikit sebab itu saja jalan untuk kami bangkit semula,” katanya.

Dalam keadaan mendesak itu, Maisarah memohon orang ramai untuk memberikan sokongan dengan membuat tempahan batang buruk bagi membolehkannya mengumpul semula modal dan menampung kos rawatan ayah serta keperluan anak-anak.

“Satu bekas pun cukup besar makna buat kami sekeluarga," katanya sambil memberitahu batang buruk itu dijual pada harga RM26 sebekas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram