Akhirnya pecah badi jaringan, Wirtz masih rasa bahagia sejak debut bersama Liverpool


  • Podium
  • Ahad, 28 Dis 2025

Wirtz meraikan jaringan pertamanya untuk Liverpool.

PEMAIN Liverpool, Florian Wirtz akhirnya menjaringkan gol untuk kelab itu apabila jaringannya membantu The Reds menewaskan Wolverhampton Wanderers dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.

Golnya itu hadir pada penghujung separuh masa pertama, seminit selepas Liverpool mendahului hasil penyudah Ryan Gravenberch.

Ia adalah gol rasmi pertama Wirtz untuk Liverpool selepas penyudahnya semasa berdepan Sunderland pada 4 Disember dikira sebagai jaringan sendiri oleh pertahanan Black Cats, Nordi Mukiele.

BACA LAGI: ‘Dia mahu ke Piala Dunia’, CEO TFC jelaskan punca pemergian Nurillo

BACA LAGI: Hilang pemain termahal, Liverpool sedia lengkapkan perpindahan ‘sempurna’

Selepas berjaya menamatkan kemarau 17 perlawanan tanpa gol di EPL, Wirtz akhirnya lega kerana berjaya mendapatkan jaringan yang dinanti.

Wirtz mengakui yang dia mahu menjaringkan gol seawal penampilan pertama namun ia tidak semudah disangka.

"Ia berasa sangat baik untuk berada di padang bersama-sama penyokong. Saya sangat gembira dan saya masih berasakan sebegitu.

"Saya pasti saya akan jaringkan gol satu hari nanti. Saya mahu bermula awal dalam menyumbang gol dan bantuan jaringan tapi ia tidak menjadi seperti saya harapkan dan saya terima.

"Saya tahu ia (jaringan) akan tetap datang, dan saya terus mencuba," ujar Wirtz. 

Bagi pengendali Liverpool, Arne Slot, dia tidak terkejut yang Wirtz akhirnya menjaringkan gol kerana tahu kualiti pemain tersebut akan membuktikan kemampuannya.

"Skuad kami sudah lihat apa yang dia boleh berikan melalui penciptaan peluang dan hampir menjaringkan gol.

"Semua orang dalam dunia bola sepak tahu apa yang dikatakan mengenainya, walaupun dia tak tahu apa yang dikatakan itu adalah mengenai dirinya.

"Dia akan terus menjaringkan gol dan bukan yang satu ini saja. Saya rasa Wirtz memberikan kami lebih dari sekadar gol," jelas Slot.  — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram