BEKAS pemain dan pengurus bola sepak negara Datuk M. Karathu menyifatkan arena bola sepak negara kehilangan seorang legenda dengan pemergian Shaharuddin Abdullah akibat penyakit asma di Hospital Taiping, Perak pada Khamis.
Beliau berkata, Allahyarham Shaharuddin yang pernah menjadi rakan sepasukannya ketika beraksi dalam Pestabola Merdeka tahun 1965 merupakan seorang pemain yang berbakat besar dan sukar ditandingi ketika itu, terutama apabila diberikan tanggungjawab bermain di bahagian penyerang.
"Ketika kami bermain mewakili pasukan negara pada Pestabola Merdeka tahun 1960-an, dia masih muda, namun sudah menjadi penjaring yang handal, malah tendangannya juga laju selain banyak menjaringkan gol untuk pasukan.
"Dia merupakan striker yang bagus dan untuk melahirkan striker yang hebat sepertinya adalah sukar, jadi bagi saya dia antara bekas pemain yang terbaik,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Allahyarham Shaharuddin pernah mewakili negara dalam Sukan Olimpik Munich 1972. — Facebook/FAM
Shaharuddin yang pernah mewakili negara dalam Sukan Olimpik Munich 1972 disahkan meninggal dunia oleh anak keduanya, Shahrina Shaharuddin, 42, akibat penyakit asma pada usia 75 tahun di Hospital Taiping, Perak 5.07 pagi tadi.
Allahyarham mula bermain untuk pasukan kebangsaan pada 1967 dan kelincahannya di padang menyebabkan beliau diberi gelaran 'The Black Cat' dan 'Sharpshooter'.
Shaharuddin juga pernah beraksi untuk pasukan Pulau Pinang pada tahun 1967-1969, namun berhijrah ke pasukan Penjara FC selepas itu sehingga 1973, sebelum kembali semula bermain untuk pasukan Pulau Pinang pada tahun 1974-1982.
Setakat ini, Allahyarham juga merupakan pemain keempat di Malaysia yang terbanyak menjaringkan gol dengan keseluruhan 39 jaringan dalam 70 penampilannya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram