PASUKAN Mobile Legend Bang-Bang (MLBB) negara sekali lagi mencipta nama di peringkat antarabangsa selepas menjuarai Kejohanan E-Sports Dunia IESF (IESF WEC) 2025 yang dianjurkan di Kuala Lumpur selama empat hari bermula Rabu lalu.
Cabaran hebat dihadapi wakil tanah air pada edisi kali ini, namun persembahan konsisten menyaksikan mereka menamatkan saingan peringkat Kumpulan A di tangga teratas.
Kemudian, dalam pusingan kalah mati, Malaysia tidak berdepan sebarang masalah dalam menyingkirkan Mongolia dan Indonesia sebelum menewaskan Kemboja dalam perlawanan akhir.
BACA LAGI: Pernah menuntut di maahad tahfiz, Aria pemain e-sport MLBB wanita pertama mara ke EWC 2025
BACA LAGI: [VIDEO] Bintang SRG muncul 'Achraf Hakimi versi MLBB', beri wang kemenangan untuk ibu

Kejayaan itu menyaksikan pasukan negara membawa pulang hadiah berjumlah $32,500 (RM133,884) sementara tonggak utama, Hazziq Danish Rizwan muncul pemain paling bernilai (MVP) di pentas final.
Pencapaian tersebut sememangnya cukup bermakna buat Malaysia kerana ia sekali gus memastikan kejuaraan itu kekal dalam negara selepas turut memenanginya dalam edisi terdahulu.
Namun, kemenangan bersejarah itu tidak mengganggu fokus utama pasukan negara bagi saingan Sukan SEA 2025 yang membawa makna cukup besar dalam dunia e-sports, terutamanya dalam permainan MLBB.
Pengurus pasukan Malaysia ke temasya tersebut, Simon Lim berkata, kemenangan di pentas IESF WEC khas buat peminat sukan itu dalam negara sebelum sempat menegaskan bahawa perjuangan masih belum tamat.
"Jurulatih dan pemain negara, ayuh kita fokus Sukan SEA pula! Keraian IESF WEC kita tangguh dahulu. Misi untuk Ibu Pertiwi jauh lebih besar dan lebih bermakna. Inilah masa untuk disiplin, kerja keras dan satu hati demi negara," katanya.

Skuad MLBB negara meraih pingat dalam temasya Sukan SEA 2023.
Simon boleh dikatakan figura penting dalam arena MLBB tempatan memandangkan dia juga merupakan pengasas bersama Selangor Red Giants OG Esports (SRG.OG).
Malah, lama sebelum bersama pasukan terbabit, dia juga memainkan peranan penting apabila memikul peranan pengurus buat Air Asia Saiyan.
Tambah Simon lagi, Malaysia perlu berharap nasib menyebelahi mereka bagi undian Sukan SEA yang bakal berlangsung pada Rabu sekiranya mahu mengelak kumpulan maut.
"Malaysia diletakkan di Pot 2 bersama pemenang gangsa lepas, Myanmar. Pot 1 pula terdiri daripada Filipina dan Thailand sementara Pot 3 ialah Kemboja, Indonesia, Singapore dan lain-lain.
"Format pertandingan hanya dua kumpulan sahaja dan dua teratas setiap kumpulan mara ke separuh akhir. Kalau nasib tak menyebelahi, ada kemungkinan kita satu kumpulan dengan Filipina, Indonesia dan Kemboja sekali gus," katanya.
Pencapaian terbaik negara di pentas Sukan SEA hadir pada edisi yang lalu apabila skuad lelaki Malaysia membawa pulang pingat perak selepas tewas kepada Filipina di perlawanan akhir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
