[VIDEO] Walaupun bukan sukan dipilih, kami tetap beri emas — Kapten skuad bola jaring Malaysia


  • Podium
  • Khamis, 18 Dis 2025

Pasukan bola jaring Malaysia meraikan kejayaan selepas menewaskan Singapura untuk merangkul pingat emas di Sukan SEA.

TANGISAN dan pelukan mengiringi kemenangan skuad bola jaring negara selepas berjaya menamatkan kempen dengan kemenangan 52-49 ke atas Singapura di Stadium Chantana Yingyong, Universiti Chulalongkorn, Bangkok, Thailand pada Rabu.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kebangsaan terus mengukuhkan kedudukan terbaik di Asia Tenggara apabila mengekalkan pingat emas Sukan SEA kali ketiga berturut-turut.

Dengan kejayaan pada Rabu, Malaysia mencatat hatrik emas Sukan SEA selepas muncul juara 2017 dan 2019. Sukan bola jaring tidak dipertandingkan pada edisi 2021 di Vietnam dan edisi 2023 di Kemboja.

BACA LAGI: Miss Thailand 2023 galas tugas istimewa, bangga bawa papan tanda Malaysia di Sukan SEA 2025

BACA LAGI: Galas tanggungjawab sebagai jurunavigasi, Permaisuri Thailand bakal bertanding di sukan SEA 2025

Kembali menceritakan perjuangan mereka di saingan berkenaan, ketua pasukan bola jaring wanita, Fariha Razak akui perjalanan berliku dihadapi mereka sebelum memberi emas kepada tanah air.

"Ya ALLAH, pertama sekali bersyukur sangat dekat teammate saya, mereka memang bagi all out walaupun kami dah tertinggal enam biji. Memang susah kalau di final itu nak kejar, tiga centre pass kena curi tapi kita tak fikir pun result.

"Kita pun buat saja next step, cuba curi bola satu demi satu dan alhamdulillah masa third quarter kita dapat leading dua dan kita stay saja sampai habis make sure bola kita gold kita.

"Walaupun semasa round robin kalah tapi benda itu tak menjatuh kita, dia bagi kita semangat lagi untuk kita revenge dan kekalkan kejuaraan untuk kali ketiga," katanya memetik temubual bersama Astro Arena.

Fariha yang juga bintang Johor Jewels berkata, kejayaan hatrik mendapatkan emas dalam acara dwitahunan itu juga diharapkan dapat memberi sinar baharu kepada sukan bola jaring di Malaysia.

"Saya hampir tak nak main untuk kali ini sebab kecederaan, lepas itu saya fikir dengan persediaan kami tak yang tak seberapa seperti sebelum ini.

"Tapi kita buktikan walaupun kami tak fulltime, walaupun kita bukan sukan dipilih, bukan under program tapi kita tetap dapat deliver gold untuk Malaysia," jelasnya.

Setakat ini, kontinjen Malaysia hanya memerlukan lapan pingat lagi untuk mencapai sasaran keseluruhan 200 pingat tanpa mengira warna pada Sukan SEA Thailand 2025.

Dengan saingan berbaki tiga hari sebelum temasya sukan dwitahunan itu melabuhkan tirainya, Malaysia setakat ini meraih 192 pingat, iaitu 41 emas, 45 perak dan 106 gangsa sekali gus meletakkan kontinjen negara di landasan tepat untuk mencapai sasaran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram