Rezeki tinggalkan JDT, import Asia bawa kelab China ke divisyen teratas, siap jadi kapten


  • Podium
  • Sabtu, 27 Dis 2025

Kunimoto boleh diangkat sebagai watak utama pasukan yang akan beraksi di divisyen teratas China buat pertama kali dalam sejarah kelab. — Instagram/Liaoning Tieren

KUALITI pemain import merupakan salah satu komponen utama di sebalik dominasi Johor Darul Ta'zim (JDT) memandangkan sudah terdapat lambakan bintang luar negara dibawa masuk sepanjang sejarah kelab.

Namun, di sebalik nama-nama besar itu, ada yang gagal menyesuaikan diri sehngga wajar diberikan label 'flop' kerana tidak memberi sumbangan besar sepanjang tempoh perkhidmatan.

Antara yang boleh diletakkan dalam kategori tersebut ialah pemain dari Jepun, Takahiro Kunimoto yang dibawa masuk pada pertengahan musim 2023.

BACA LAGI: Selepas JDT 'sign' Kunimoto, giliran Selangor sambar pemain muda Jepun

BACA LAGI: Beraksi penuh santai, fans Harimau Selatan mula persoal prestasi Kunimoto

Kunimoto hadir dengan harapan cukup besar daripada peminat skuad Harimau Selatan. Instagram/JOHOR Southern Tigers

Import berkenaan diharapkan mampu menambah kreativiti dalam pasukan, lebih-lebih lagi susulan kecederaan dialami perancang utama, Leandro Velazquez hanya beberapa minggu sebelum kehadiran pemain baharu itu.

Kunimoto pada awalnya membawa sinar begitu cerah buat skuad Harimau Selatan selepas meledak dua gol dalam debut ketika perlawanan Piala Malaysia menentang Kelantan FC di laman sendiri.

Bagaimanapun, selepas itu, khidmatnya dalam pasukan seakan-akan segera dilupakan ketua jurulatih, Esteban Solari yang meletakkan pemain itu di bangku simpanan.

Keputusan terbabit menimbulkan pelbagai persoalan sehingga menyaksikan Kunimoto hanya sempat beraksi lapan kali secara keseluruhan sebelum ditunjukkan jalan keluar.

Liaoning Tieren akan beraksi dalam divisyen teratas China musim depan. Instagram/Liaoning Tieren

Enggan kecewa dengan perkara itu, pemain berusia 28 tahun tersebut kemudian menyertai kelab China, Liaoning Tieren yang beraksi di divisyen kedua negara berkenaan.

Perpindahan terbabit pada awalnya dikritik kerana dia gagal mencuri perhatian mana-mana pasukan sekitar Asia sehingga terpaksa mencuba nasib di liga bawahan.

Tetapi, selepas dua musim bersama kelabnya itu, Kunimoto sudah membuktikan bahawa keputusannya berkenaan tepat selepas membawa mereka ke divisyen teratas China.

Kejayaan itu diraih selepas Liaoning Tieren menamatkan liga di kedudukan teratas dengan 68 mata dikutip hasil 20 kemenangan, lapan keputusan seri dan hanya dua kekalahan.

Kunimoto diberi peranan kapten atas pengaruhnya buat Liaoning Tieren. Instagram/Liaoning Tieren

Ia merupakan pencapaian cukup bersejarah buat pasukan itu yang pertama kali akan bersaing di liga utama selepas ditubuhkan hampir 10 tahun lalu.

Kredit besar perlu diberikan kepada Kunimoto yang menjadi nadi utama pasukan selepas merekodkan lima gol dan 18 bantuan jaringan daripada 18 penampilan.

Malah, pengaruh besar dibawa dalam pasukan menyaksikan pengendalinya, Li Jinyu memberikannya peranan kapten sepanjang musim yang mengukuhkan lagi impaknya buat kelab itu.

Kejayaan ditempa bekas import JDT terbabit di China sekali gus menceritakan bagaimana seorang pemain boleh bergelut di sesebuah pasukan, namun mampu mengubah nasib sekiranya berusaha mengerah keringat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram