Selepas JDT 'sign' Kunimoto, giliran Selangor sambar pemain muda Jepun


  • Podium
  • Jumaat, 18 Ogos 2023

Kunimoto (kiri) dan Higuchi (kanan) sudah mula turun menjalani latihan bersama pasukan masing-masing.

JOHOR Darul Takzim (JDT) terus memperkukuh pasukan mereka dengan menandatangani bekas pemain kebangsaan B-20 Jepun, Takahiro Kunimoto sebelum jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) ditutup pada 1 Ogos lalu.

Kunimoto beraksi di posisi tengah menyerang yang mana dia mampu beraksi di sebelah sayap dan mempunyai pengalaman beraksi dalam Liga Portugal bersama Casa Pia.

Sebelum berhijrah ke Eropah, Kunimoto terlebih dahulu beraksi dalam K League 1 (Korea) bersama Gyeongnam FC sebelum ditamatkan kontrak oleh Jeonbuk Hyundai kerana memandu kenderaan dalam keadaan mabuk.

Kunimoto akan menyarung jersi bernombor 88 di JDT.

Musim lalu bersama Casa Pia, Kunimoto berjaya melakukan 26 penampilan dan sempat menjaringkan satu gol serta dua assist ketika mewakili pasukan itu.

Dengan Kunimoto sah menyertai Harimau Selatan, pasukan futsal Selangor juga turut mengambil kesempatan dengan membawa masuk seorang pemain dari Jepun iaitu Takeshi Higuchi.

Selangor MAC Futsal mengumumkan Higuchi sebagai pemain baharu untuk menggantikan Ali Ebrahimi yang kembali ke Iran untuk beraksi di liga negara itu.

Ebrahimi merupakan penjaring terbanyak Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 dengan 22 gol yang dijaringkan dalam kejohanan itu.

Takeshi

Higuchi menyarung jersi nombor 13 bersama Selangor MAC.

Ia sedikit sebanyak akan memberikan tekanan buat bekas pemain kebangsaan futsal B-20 Jepun untuk menggantikan rekod yang ditinggalkan Ebrahimi.

Sebelum ini, Higuchi beraksi bersama Atletico Benavente di Liga Sepanyol sebelum menyertai Gergasi Merah untuk menghadapi saingan Piala Futsal Malaysia 2023.

Higuchi yang beraksi di posisi pivot akan bergandingan dengan pemain import Brazil, Matheus Vasconcelos atau lebih mesra dengan panggilan Ceara untuk mempertahankan kejuaraan Piala Futsal Malaysia 2022 selepas gagal menjuarai MPFL 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram