[VIDEO] Berusia 59 tahun, Higuita masih berkudrat ulangi gaya ikonik 'scorpion kick' selepas 3 dekad


  • Podium
  • Rabu, 24 Dis 2025

Higuita pertama kali melakukan aksi akrobatik tersebut ketika aksi persahabatan menentang England pada 1995. — Agensi

PEMINAT bola sepak antarabangsa sudah tentu pernah menyaksikan aksi akrobatik seorang penjaga gol berambut panjang menggunakan teknik scorpion kick.

Bagi yang tidak mengenalinya, pemain dimaksudkan ialah bekas penjaga gawang antarabangsa Colombia, Rene Higuita yang berbuat demikian ketika aksi persahabatan menentang England.

Dalam perlawanan di Stadium Wembley, England pada September 1995, Higuita melakukan aksi akrobatik ketika hendak mengeluarkan hantaran lintang pemain lawan, Jamie Redknapp.

BACA LAGI: Prestasi terumbang-ambing, tak mustahil usaha CEO Terengganu FC sia-sia

BACA LAGI: Sudah ‘follow’ bintang Selangor, khabarnya bek Penang tunggu masa berhijrah ke Lembah Klang

Momen itu sememangnya sukar dilupakan kerana ia menceritakan personaliti penjaga gol berkenaan yang dikenali sebagai seseorang yang tidak dapat dijangka di atas padang sehingga diberikan gelaran 'El Loco'.

Detik cukup mengagumkan itu sekali lagi dicipta Higuita dalam sebuah perlawanan perpisahan melibatkan bekas rakan sepasukannya, Mario Yepes serta beberapa ikon bola sepak antarabangsa baru-baru ini.

Dalam perlawanan berkenaan, bekas penjaga gol itu masih mampu menampilkan aksi akrobatik meskipun fizikalnya jelas dimamah usia selepas bertahun-tahun menamatkan karier.

Meskipun lompatannya tidaklah begitu kemas, Higuita dan pemain lain dapat melakar senyuman memandangkan momen itu mengimbau kembali kenangan yang pada awalnya dicipta 30 tahun lalu.

Selain itu, perlawanan tersebut memberi peluang buat mereka sekali lagi beraksi dengan nama-nama besar seperti Radamel Falcao, Carlos Valderrama dan David Trezeguet.

Aksi yang berakhir dengan keputusan seri 5-5 itu berlangsung di Stadium Olimpik Pascual Guerrero di Cali, Colombia dengan ribuan penyokong dilaporkan hadir untuk mengubat rindu terhadap pemain kegemaran masing-masing.

Untuk rekod, Higuita menghabiskan majoriti daripada kariernya di Amerika Selatan dengan beberapa kelab pernah diwakilinya seperti Millonarios dan Atletico Nacional di Colombia.

Selain memikul peranan penting di pintu gawang, dia turut mempunyai kebolehan untuk meledak jaringan, termasuk menerusi sepakan percuma dengan 43 gol dicetak sepanjang tempoh permainannya.

Di peringkat antarabangsa pula, dia yang kini berusia 59 tahun pernah mewakili negaranya sebanyak 68 kali, termasuk di pentas Piala Dunia 1990. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram