Tonggak utama skuad Malaysia dipesan jangan mudah melenting, terus perbaiki prestasi


  • Podium
  • Selasa, 09 Dis 2025

Pelbagai kelemahan masih dapat dikesan dalam skuad bola sepak wanita negara susulan dua kekalahan memalukan. — Facebook/FAM

DUA kekalahan berturut-turut dialami Malayan Tigress dalam aksi Kumpulan B Sukan SEA 2025 di Thailand yang sekali gus menutup peluang negara untuk mara.

Mereka terlebih dahulu memulakan kempen dengan langkah kiri susulan kekalahan 0-7 di tangan Vietnam sebelum sekali lagi tewas semasa berdepan Myanmar yang berakhir dengan keputusan 0-3.

Kedua-dua keputusan itu menceritakan situasi sebenar bola sepak wanita negara yang masih jauh ketinggalan berbanding negara lain sekitar Asia Tenggara.

BACA LAGI: [VIDEO] Harumkan nama negara di Liga Albania, aksi Azurin Mazlan 'save' penalti raih perhatian ramai

BACA LAGI: Dari Sabah ke pentas antarabangsa, Nurul Azurin menyerlah cipta 'clean sheet' pertama di Albania

Kekalahan 0-3 di tangan Myanmar menutup peluang negara untuk mara. — Facebook/FAM

Tidak cukup dengan itu, imej Malayan Tigress kian tercalar selepas penjaga gol merangkap kapten pasukan, Azurin Mazlan melabel media tempatan tidak memberi sokongan secukupnya.

"Jadi media sukan, tolonglah jadi 'supportive' sikit. Kalau bukan anda yang sebarkan positiviti, siapa lagi? Suka cari publisiti murahan," tulisnya di laman Threads.

Hantaran itu difahamkan sudah dipadam pemain berusia 25 tahun berkenaan, namun sempat ditangkap layar dan dikongsikan di pelbagai platform media sosial.

Ini termasuk laman Facebook Otai Sukan yang beranggapan situasi sedemikian tidak boleh disorok sekiranya mahu melihat sukan itu kian berkembang.

Malah, perkongsian itu turut menerima ratusan respons daripada peminat yang percaya Azurin serta rakan sepasukannya perlu lebih cekal dalam berdepan kritikan media dan penyokong.

"Pasukan wanita ini baru ada ya. Terima sahaja cemuhan, jangan baca dan terus baiki apa yang perlu. Kita pun tahu Vietnam dan Myanmar memiliki pasukan wanita yang mantap.

"Anda kena bersedia, sekarang ini media gunakan ayat sinis jika tidak menang atau tidak bagus. Anda perlu bersedia itu semua, tenang sahaja," kata Mazliah Seniwal.

"Mental perlu kuat. Baru kena hentam sedikit, terus cop media cari publisiti murahan pula. Semasa beraksi baik, media ini juga lah yang naikkan nama anda," kata Malaysia Football Maestro.

Malayan Tigress berada di kedudukan tercorot Kumpulan B Sukan SEA 2025. — Facebook/FAM

"Banyak sangat kelemahan ditonjolkan, macam tak bersedia untuk bermain di peringkat tertinggi. Yang paling ketara ialah isu kecergasan, memang nampak sangat lemahnya mereka ini," kata Abam Braderr.

Nama Azurin tidak lagi asing dalam arena bola sepak tanah air apabila dia merupakan antara pemain yang pernah menembusi pasaran Eropah selepas menyertai kelab Albania, KFF Vllaznia.

Selain itu, dia sudah berkali-kali diangkat sebagai tonggak Malayan Tigress apabila juga pernah diberikan peranan kapten meskipun bek tengah, Steffi Sarge Kaur jelas lebih berpengalaman.

Skuad wanita negara masih berpeluang menebus kekecewaan di Thailand dalam aksi penutup Kumpulan B Sukan SEA apabila mereka berdepan Filipina pada Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram