Ibarat tiada nilai, harga pasaran 7 pemain warisan 'lesap'


  • Podium
  • Selasa, 23 Dis 2025

Ketujuh-tujuh pemain warisan yang digantung menyaksikan penurunan ketara terhadap nilai pasaran masing-masing. — Facebook/Malaysia NT

SITUASI kelam terus dihadapi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung skandal pemain warisan setelah baru-baru ini, badan induk itu dikenakan satu lagi hukuman oleh FIFA.

Hukuman dimaksudkan adalah denda berjumlah CHF10,000 (RM51,414) selain ketiga-tiga aksi persahabatan melibatkan mereka yang tertuduh berakhir dengan kekalahan 0-3 kepada Harimau Malaya.

Tindakan diambil itu menyebabkan ranking skuad kebangsaan terjejas setelah mereka jatuh lima anak tangga ke kedudukan ke-121 berdasarkan kemas kini terbaru pada Isnin.

BACA LAGI: Skandal pemain warisan: FAM tetap bawa kes ke CAS, komited tegakkan keadilan

BACA LAGI: Di sebalik skandal FIFA, Holgado masih dijulang, jadi tonik bekas rakan sepasukan

Malah, kemelut berkenaan turut memberi kesan terhadap ketujuh-tujuh pemain apabila baru-baru ini, nilai pasaran masing-masing ditetapkan pada harga RM0.

Maklumat berkenaan diperolehi menerusi semakan di laman sesawang transfermarkt yang menunjukkan kesemua dari mereka tidak mempunyai sebarang nilai pasaran.

Meskipun penetapan harga oleh transfermarkt bukanlah sumber rujukan utama, maklumat disediakan kerap dijadikan bahan rujukan peminat bola sepak antarabangsa.

Ini merupakan satu berita buruk memandangkan sebelum ini, rata-rata daripada tujuh pemain itu mempunyai nilai pasaran mencecah jutaan ringgit.

Garces merupakan antara pemain paling terkesan akibat penggantungan itu. Facebook/Malaysia NT

Sebagai contoh, Facundo Garces yang merupakan bek Alaves di Sepanyol pernah dianggarkan bernilai €2 juta (RM9.88 juta) kerana memiliki pengalaman cukup berharga sepanjang karier.

Joao Figueiredo yang pernah beraksi di Turkiye bersama Istanbul Basaksehir juga pernah mempunyai nilai pasaran cukup tinggi, iaitu setinggi €3.2 juta atau RM15.3 juta berdasarkan tukaran semasa.

Bagaimanapun, berikutan skandal tersebut, nilai pasaran masing-masing mula susut susulan dikenakan penggantungan 12 bulan yang hanya akan berakhir pada September 2026.

Selain itu, reputasi kesemua tujuh yang terkesan itu pasti tercalar sehingga boleh menyebabkan peluang mencari pasukan baharu selepas penggantungan berakhir sukar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram