PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) sekali lagi menerima hukuman daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila didapati menurunkan pemain tidak layak dalam tiga perlawanan antarabangsa Tier 1.
Dalam satu kenyataan rasmi, FAM memaklumkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang bersidang pada 12 Disember 2025 mendapati badan induk itu melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025).
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Jorge Palacio itu memutuskan FAM bersalah kerana menurunkan pemain tidak layak dalam tiga perlawanan persahabatan sebelum ini.
BACA LAGI: 'Jangan bawa ke CAS', TMJ dedah ada individu FIFA ugut FAM
BACA LAGI: Boleh saman FAM, cuma 7 pemain warisan tak jamin menang — Peguam
Perlawanan pertama melibatkan aksi persahabatan Harimau Malaya menentang Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei 2025 yang berakhir seri 1-1.
Aksi kedua adalah perlawanan skuad kendalian Peter Cklamovski menentang Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 4 September 2025, yang menyaksikan Harimau Malaya menang 2-1.
Manakala perlawanan ketiga membabitkan pertemuan Malaysia dengan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 8 September 2025, yang dimenangi Malaysia 1-0.
"Sehubungan itu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA telah membuat keputusan bahawa Malaysia diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 pada ketiga-tiga perlawanan tersebut.
"Selain itu, FAM turut dikenakan hukuman denda sebanyak CHF10,000 (RM51,414).
"FAM akan membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib FIFA sebelum mempertimbang langkah seterusnya yang akan diambil berhubung perkara ini," kata FAM pada Rabu.
Bagaimanapun, perlawanan menentang Vietnam yang menyaksikan Malaysia menang besar 4-0 dan turut menyenaraikan tujuh pemain sama, tidak termasuk dalam senarai hukuman yang diumumkan FIFA setakat ini.
Keadaan itu menimbulkan persoalan memandangkan aksi berdepan Vietnam merupakan perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 di bawah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), sekali gus membuka kemungkinan belum ada keputusan muktamad terhadap perlawanan berkenaan.
Sekiranya AFC mengeluarkan keputusan baharu susulan hukuman FIFA ini, peluang Malaysia yang kini menghuni tangga teratas Kumpulan F untuk layak ke Piala Asia 2027 berpotensi terkubur.

Tujuh pemain warisan tanah air dikenakan denda RM10,000 serta digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.
Sebelum ini, FAM mengesahkan telah membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) susulan hukuman FIFA membabitkan isu dokumentasi tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Tindakan membawa kes itu ke CAS dibuat selepas FIFA mengeluarkan alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan setebal 64 muka surat pada 3 November lalu yang mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib.
Keputusan berkenaan menyaksikan FAM sebelum ini didenda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala tujuh pemain terbabit digantung selama 12 bulan serta masing-masing dikenakan denda CHF2,000 (kira-kira RM10,000) setiap seorang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
