Ranking Harimau Malaya dijangka menjunam, mungkin digantung 2 kempen kelayakan Piala Asia


  • Podium
  • Selasa, 23 Dis 2025

Ranking Malaysia dijangka jatuh lagi.

RANKING skuad Harimau Malaya sudah pun terkeluar dari zon 120 negara terbaik dunia apabila kemas kini terkini Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyaksikan Malaysia turun ke-121.

Namun begitu, derita Harimau Malaya dijangka berterusan apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pula mengambil tindakan kerana skandal pemain warisan.

Sebelum ini, mata ranking Malaysia ditolak melibatkan aksi persahabatan antarabangsa yang dianjurkan oleh FIFA sahaja.

BACA LAGI: Saga perpindahan Semenyo: Liverpool 'kunci mulut', Man United tak duduk diam

BACA LAGI: Nampak macam 'lama', kecederaan babak pertama Bruno Fernandes risaukan kem Man United

Akan tetapi, perkongsian laman media sosial bola sepak, Seasia Goal mendapati AFC turut akan menarik balik kemenangan yang diraih Malaysia pada kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam dan Nepal.

Kemenangan Malaysia akan ditarik dan menjadi kekalahan 0-3 terhadap kedua-dua negara dengan AFC dikatakan sudah menetapkan keputusan itu.

Namun begitu, pengumuman rasmi hanya akan dibuat berdasarkan keputusan rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Dengan potensi hukuman AFC itu, kedudukan Harimau Malaya dalam ranking FIFA dijangka terus merudum dalam kemas kini seterusnya.

Dengan jumlah mata dari aksi kelayakan lebih tinggi daripada perlawanan persahabatan antarabangsa, kedudukan Malaysia akan lebih parah selepas ini. 

Malaysia juga berdepan hukuman larangan beraksi di dua edisi Piala Asia selepas ini sekiranya rayuan di CAS tidak berjaya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram