SEORANG pengguna media sosial meluahkan rasa berang selepas menyaksikan dua individu dipercayai menangkap ikan menggunakan jala di sebuah tasik awam di Kuala Lumpur pada Khamis.
Menerusi satu hantaran yang tular di TikTok, seorang lelaki yang menggunakan akaun, benaz6 mendakwa kejadian itu berlaku ketika dia membawa anak saudaranya ke taman berkenaan untuk memberi makan ikan seperti kebiasaan.
Menurutnya, situasi bertukar tegang apabila dua lelaki terbabit tiba-tiba menjala ikan di kawasan sama yang sering menjadi lokasi kanak-kanak memberi makan ikan.
BACA LAGI: Pelajar junior UMS maut dipercayai terjatuh, punca sebenar berada atas siling masih disiasat
BACA LAGI: Diskaun tol 50 peratus selama dua hari bermula 23 Disember sempena Krismas
Lebih mengecewakan, perbuatan tidak bertanggungjawab berkenaan dipercayai menjadi punca populasi ikan di tasik awam berkenaan semakin berkurangan.
"Aku bawa anak buah ke taman untuk bagi ikan makan, kemudian duduk sebab penat tapi anak buah saya masih bagi ikan makan. Tiba-tiba datang dua orang lelaki ni terus tebar jala di tempat budak-budak tabur makanan ikan itu.
"Budak-budak ini lari pada aku cakap, 'orang itu ambil ikan dalam kolam'. Bila saya tengok, memang betul dia tengah tarik ikan dalam jala dan masukkan ke dalam guni," katanya di ruangan kapsyen.
"Patut ikan dekat tasik ini tak sebanyak dulu. Rupanya kerja manusia yang teruk perangai mencuri. Apa tindakan DBKL? tidak ada orang yang memantau ke kawasan ini," katanya di ruangan kapsyen.
Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan pihaknya telah mengambil maklum berhubung perkongsian rakaman tersebut dan akan menjalankan pemantauan serta tindakan lanjut sekiranya perlu.
"Terima kasih atas info. Min (admin) akan panjangkan ke jabatan yang berkaitan untuk pantauan dan tindakan selanjutnya," balas DBKL di ruangan komen hantaran itu.
Perkongsian berkenaan turut mencetuskan kemarahan dalam kalangan warganet yang rata-ratanya mengecam perbuatan menangkap ikan di tasik awam untuk kepentingan peribadi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
