Skuad B-17 tewas besar di Hanoi, Malaysia perlu rombakan akar umbi


  • Podium
  • Selasa, 02 Dis 2025

Pemain Malaysia, Amirul Haziq (kiri) berebut bola dengan pemain Vietnam dalam aksi Kumpulan C pada Ahad lalu. — FAM

KEKALAHAN besar 0-4 kepada Vietnam bukan sahaja menutup peluang Malaysia ke Piala Asia B-17 2026 di Arab Saudi, malah membuka semula perdebatan mengenai hala tuju pembangunan bola sepak negara, khususnya di peringkat akar umbi.

Di bawah kendalian Javier Jorda Ribera, Malaysia menamatkan saingan Kumpulan C di tempat kedua dengan 12 mata—selepas mencatat empat kemenangan berturut-turut sebelum tumpas dalam aksi penentuan di Hanoi, Ahad lalu.

Hanya juara kumpulan layak automatik, dan Vietnam memastikan tiket ke peringkat akhir dengan rekod sempurna 15 mata.

BACA LAGI : The Cats hilang striker tajam akibat 2 kad kuning, bekas peledak JDT ditagih jadi duri dalam daging

BACA LAGI : Tahukah anda? Penentuan penalti selepas seri, munculnya Telekom Melaka-TNB Kelantan warna-warni landskap bola sepak domestik musim 1999

Vietnam kini menyertai Thailand, Myanmar dan Indonesia sebagai wakil Asia Tenggara yang mengesahkan slot ke kejohanan tersebut.

Aksi di Hanoi itu menjadi tamparan realiti buat skuad muda negara apabila perlawanan tersebut mendedahkan jurang ketara dari segi kualiti permainan, penyudah dan intensiti berbanding pencabar serantau yang semakin jauh ke depan.

Ribera mengakui kekalahan itu berpunca daripada ketumpulan jentera serangan Malaysia serta kegagalan memanfaatkan peluang yang terhidang, sekali gus memberi ruang kepada Vietnam menguasai perlawanan.

Vietnam membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi Nguyen Manh Cuong, sebelum Nguyen Ngoc Anh Hao menambah gol kedua pada penghujung babak pertama.

Dua lagi gol hadir pada minit ke-55 hasil jaringan Nguyen Van Duong dan Le Sy Bach pada minit ke-77.

"Vietnam bermain pada tahap terbaik mereka, sedangkan kami gagal menguasai permainan. Kami sebenarnya berpeluang membuka jaringan lebih awal, tetapi dua minit kemudian mereka menghukum kami menerusi sepakan percuma.

"Selepas itu tekanan beralih sepenuhnya kepada kami. Walaupun kami menguasai bola, mereka mengawal tempo permainan dan menjaringkan gol kedua sebelum rehat.

"Separuh masa kedua kami cuba bangkit, tetapi setiap kali peluang terhidang, kami gagal menyudahkannya," katanya.

Bagaimanapun, Ribera tetap positif apabila beberapa pemain dilihat memiliki potensi besar untuk diserap ke skuad lebih tinggi.

Antara yang menyerlah ialah penyerang muda Sekolah Sukan Pahang, Iman Danish Shukor, yang meledak lapan gol sepanjang kempen termasuk dua hatrik menentang Northern Mariana Islands dan Macau.

"Walaupun gagal layak, pemain memberikan komitmen penuh dengan empat kemenangan dan satu kekalahan sahaja.

"Saya percaya beberapa pemain kini sudah bersedia untuk menyertai skuad kebangsaan bagi peringkat umur seterusnya," tambahnya.

Kegagalan terbaharu itu dijangka mengundang semula desakan agar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menilai semula program pembangunan akar umbi dan tidak hanya bergantung pada pemain naturalisasi untuk jangka masa panjang. — The Star 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram