The Cats makin garang, Derbi Borneo perlu jadi medan bukti kebangkitan Kuching City


  • Podium
  • Jumaat, 21 Nov 2025

Skuad The Cats memerlukan momentum dan prestasi terbaik bagi kekal di tiga teratas Liga Super. — Facebook Kuching City FC

SKUAD Kuching City FC (KUFC) kini bukan lagi sekadar nama dalam Liga Malaysia (Liga M). Pernah dianggap sebagai pasukan belasahan, skuad The Cats kini muncul sebagai pasukan yang mampu mengejutkan mana-mana lawan.

Manakan tidak, dengan semangat juang tinggi dan corak permainan yang kian mantap, Kuching City membuktikan mereka bukan sekadar pengisi jadual, tetapi ancaman sebenar di gelanggang sendiri.

Bakal menentang Brunei DPMM dalam Derbi Borneo pada Sabtu, sudah tentu skuad kendalian Aidil Sharin Sahak akan mempamerkan aksi terbaik mereka.

BACA LAGI : Gagal kawal nafsu dan baran, FAM ada sejarah gantung 2 pemain Liga M seumur hidup

BACA LAGI : Piala FA: Aksi terbesar dalam sejarah Kuching City, usah terlalu hormati JDT

Meskipun ramai berpandangan Derbi Borneo itu melibatkan kelab dari Sabah dan Sarawak, pertembungan dua pasukan dari rantau tersebut sudah cukup untuk menjadikannya aksi dinanti-nantikan.

Tiga mata bukan sekadar angka, tetapi juga menajamkan serangan, memperkukuh corak permainan dan menilai kekuatan taktikal skuad menjelang baki musim.

Kuching City kini berada di tangga ketiga carta Liga Super dengan hanya dibezakan tiga mata dengan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) yang berada di tangga kedua dengan mengumpul sebanyak 20 mata. 

(Dari Kiri) Gabriel Nistelrooy dan Ramadhan Saifullah antara pemain harapan Kuching City FC. 

Jurang mata masih boleh dikejar dan ini memberi motivasi tambahan kepada pemain untuk mengekalkan prestasi tinggi dalam setiap perlawanan seterusnya. 

Keyakinan yang dibina melalui kemenangan juga penting untuk menghadapi cabaran lebih sengit pada peringkat separuh akhir nanti.

Bermain di gelanggang sendiri, iaitu Stadium Negeri turut memberi kelebihan untuk pasukan mengukuhkan hubungan dengan penyokong setia. 

Persembahan mantap di Stadium Negeri bukan sahaja menyemarakkan semangat penonton, tetapi juga memberi tenaga moral kepada pemain. 

Sudah tiba masanya juga setiap pemain 'memujuk' hati penyokong selepas aksi kurang memuaskan seri menentang Penang FC dalam Liga Super Oktober lalu diikuti kekalahan 2-1 kepada Terengganu FC dalam Piala FA. 

Skuad The Cats perlu bersemangat untuk bangkit di hadapan penyokong setia dan membuktikan konsistensi dalam kempen liga.

Sorakan penyokong, intensiti permainan dan setiap peluang di padang bakal menentukan siapa yang keluar sebagai pemenang dalam Derbi Borneo kali ini.

Walaupun Brunei DPMM bukan musuh tradisi, Derbi Borneo kali ini sarat dengan kepentingan strategik. Dari segi prestasi, mental pemain, hingga hubungan dengan penyokong, setiap aspek perlu diurus dengan bijak. 

Kuching City perlu memanfaatkan setiap peluang, mengawal tempo perlawanan dan mempamerkan corak permainan yang mantap.

Sabtu ini bukan sekadar satu lagi perlawanan kerana ia adalah ujian karakter, peluang memperbaiki kedudukan liga dan pentas untuk membuktikan bahawa mereka semakin serius menulis sejarah dalam Liga Super Malaysia.

Bagi DPMM FC, pertemuan kali ini mempunyai sentuhan emosi tersendiri. Lawatan terakhir mereka ke Kuching berakhir dengan kekalahan memalukan 1-7 dalam Piala FA yang mana satu keputusan yang masih menghantui ingatan mereka. 

Skuad Brunei ini pasti bertekad untuk membalas dendam, menggunakan kekalahan lalu sebagai motivasi untuk menebus maruah di tanah Borneo.

Dengan kedua-dua pasukan membawa misi berbeza Kuching City untuk mengekalkan persaingan kejuaraan dan DPMM FC untuk menuntut pembalasan pertemuan ini dijangka menjadi satu perlawanan sengit dan bertempo tinggi di bawah langit Sarawak. 

Sorakan penyokong, intensiti permainan dan setiap peluang di padang bakal menentukan siapa yang keluar sebagai pemenang dalam Derbi Borneo kali ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram