SEBUAH video yang dikongsi pempengaruh China, Zhang Kaiyi, mencuri perhatian ramai selepas mahkota perkahwinan emas seberat dua kilogram (kg) miliknya rosak ketika dipamerkan secara percuma di Beijing.
Insiden itu berlaku apabila seorang kanak-kanak secara tidak sengaja menyentuh pameran berkenaan hingga menyebabkan ia terjatuh.
Video yang dimuat naik pada 13 Disember lalu memaparkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di ruang pameran.
Mahkota tersebut dipamerkan di atas platform setinggi kira-kira satu meter (m) dan dilindungi dengan penutup lutsinar.
Rakaman menunjukkan seorang dewasa berdiri di sebelah kanak-kanak terbabit sambil mengambil gambar.
Kanak-kanak itu dilihat meniup penutup pameran sebelum menyentuhnya dengan tangan, menyebabkan penutup bersama mahkota di dalamnya terjatuh ke lantai.
Memetik laporan agensi, Zhang memaklumkan mahkota berkenaan dihasilkan sendiri oleh suaminya dan mempunyai nilai sentimental yang tinggi.
Karya itu merupakan sebahagian daripada pameran bertemakan cinta yang menghimpunkan hasil seni lebih 80 artis.
Menurutnya, dia tidak pernah menuntut sebarang pampasan daripada keluarga kanak-kanak tersebut kerana mahkota itu dilindungi insurans.
Perkongsian video berkenaan katanya, bertujuan mendapatkan pandangan mengenai penilaian kerosakan, bukannya untuk menyalahkan mana-mana pihak atau mencetuskan kecaman dalam talian.
Sementara itu, pihak Muzium X di Beijing yang menganjurkan pameran berkenaan memaklumkan penutup pameran tersebut tidak dipasang dengan kukuh dan perkara itu masih dalam siasatan.
Pengarah firma guaman Henan Zejin, Fu Jian menjelaskan tanggungjawab dalam kes seumpama itu perlu ditentukan berdasarkan tahap kecuaian.
Beliau berkata, struktur pameran bagi barangan bernilai tinggi seperti perhiasan emas sepatutnya memenuhi piawaian keselamatan yang ketat.
Jika didapati struktur pameran tidak stabil atau perlindungan tidak mencukupi, pihak pereka atau penganjur boleh dipertanggungjawabkan.
Di bawah undang-undang sivil China pula, kanak-kanak yang belum atau mempunyai kapasiti sivil terhad menanggung liabiliti melalui penjaga mereka.
Namun, memandangkan kejadian itu berlaku tanpa unsur kesengajaan, tanggungjawab pampasan daripada pihak keluarga kanak-kanak terbabit biasanya terhad mengikut keadaan dan tahap kesalahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
