[VIDEO] Anggota bomba cedera terkena serpihan plaster simen ketika padam kebakaran di Taman Johor Jaya


  • Massa
  • Rabu, 17 Dis 2025

Seorang anggota bomba cedera selepas dihempap serpihan plaster simen ketika operasi memadam kebakaran di Taman Johor Jaya.

SEORANG anggota bomba cedera ketika memadam kebakaran di sebuah bangunan syarikat pemborong dan pembekal di Taman Johor Jaya, Johor Bahru pada Rabu.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Tinggi II Mohd Salleh Mohamed berkata, anggota berusia 23 tahun itu mengalami kecederaan di bahu kanan.

Menurut beliau, anggota terbabit dari BBP Johor Jaya cedera selepas terkena serpihan plaster simen yang terjatuh dan menghempap bahunya ketika menjalankan kerja-kerja pemadaman di bahagian luar premis.

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Pandai kau buat lawak’, Jojo terhibur usikan Miki bab umur selepas mara ke final Sukan SEA

BACA LAGI: Benjamin Mora kembali bekerja, dikhabar jadi pengendali kelab Indonesia

“Anggota berkenaan telah diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.21 pagi sebelum seramai 30 anggota dari BBP Johor Jaya, Larkin, Tebrau, Mount Austin dan Ulu Tiram digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, operasi pemadaman melibatkan tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah EMRS, sebuah lori tangki, sebuah kenderaan pacuan empat roda serta sebuah lori.

Tambahnya, operasi memadam kebakaran masih diteruskan setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram