Bakal bintang pertahanan Singapura gagal sekat Garnacho 


  • Podium
  • Rabu, 17 Dis 2025

Garnacho meraikan jaringan gol ketiga mereka. — REUTERS/David Klein

CHELSEA mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Liga selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas kelab divisyen ketiga, Cardiff City dalam aksi suku akhir di Stadium Cardiff City pada awal pagi Rabu.

Dalam aksi itu, wakil Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan terpaksa bergantung kepada sentuhan pemain gantian, Alejandro Garnacho dan Pedro Neto untuk menundukkan tentangan berani skuad tuan rumah yang beraksi penuh disiplin sepanjang perlawanan.

Cardiff City, satu-satunya bukan pasukan EPL yang masih bertahan dalam kejohanan tersebut, memberi saingan sengit kepada juara Piala Dunia Kelab FIFA itu sehingga memaksa Chelsea mengerah kekuatan pemain simpanan bagi memastikan kemenangan.

BACA LAGI: ‘Keputusan yang mudah’, Garnacho tak pernah menyesal tinggalkan Man United demi Chelsea

BACA LAGI: Arsenal berdepan risiko didenda lepas gagal tumpaskan Chelsea

Pertahanan kanan Cardiff City, Perry Ng yang disebut-sebut sebagai antara prospek pertahanan terbaik Singapura mengakui pasukannya boleh berbangga dengan prestasi yang ditampilkan meskipun tewas.

"Kami boleh berbangga dengan persembahan malam ini. Kami bertarung habis-habisan, dan saya rasa kami bermain dengan sangat baik," katanya kepada Cardiff City TV.

Menurut Perry, kesilapan kecil yang membawa kepada jaringan Chelsea sedikit mengecewakan, namun suasana perlawanan dan semangat juang pasukan memberikan pengalaman berharga buat barisan pemain muda Cardiff.

"Pemain-pemain muda telah menunjukkan aksi cemerlang. Kami melakukan beberapa kesilapan dan saya simpati dengan Dylan Lawlor, tetapi perlawanan ini boleh menyuntik keyakinan kepadanya. 

"Kami berdepan antara pasukan terbaik dunia dan itu boleh meningkatkan keyakinan kami," jelasnya. 

Antara aksi Perry menentang Chelsea pada Rabu. — Agensi

Tambahnya, Cardiff City turut memiliki beberapa peluang keemasan termasuk hantaran lintangnya yang hampir disudahkan David Turnbull menerusi tandukan cantik, namun ketajaman Chelsea menjadi pemisah.

"Apabila berdepan pasukan seperti Chelsea, mereka sangat klinikal. Beri mereka sedikit ruang dan mereka akan menjaringkan gol. Ia mengecewakan, tetapi kami boleh berbangga," ujarnya.

Perry turut menjelaskan pendekatan menyerang yang diterapkan jurulatih Brian Barry-Murphy menjadi identiti pasukan, termasuk berani mengekalkan garisan pertahanan tinggi menentang lawan bertaraf dunia.

"Kami tidak akan mengubah corak permainan walaupun menentang Barcelona atau Real Madrid. Banyak pasukan EPL bermain bertahan menentang Chelsea dan tetap kalah, jadi kami fikir mengapa tidak berdepan secara terbuka. Cuma kesilapan kecil dalam perlawanan yang menghukum kami,” katanya.

Walaupun belum debut bersama Singapura, Perry sudah menyertai kem latihan skuad The Lions. — Agensi

Untuk info, perlawanan berkenaan juga cukup bermakna buat Perry apabila ia merupakan penampilan ke-200 pemain berusia 29 tahun bersama bersama Cardiff City.

"Masa berlalu begitu pantas. Ia detik yang membanggakan untuk saya dengan kehadiran keluarga dan rakan-rakan di stadium. 

"Cuma sedikit kecewa kerana kami tidak dapat membawa perlawanan ke penentuan penalti, tetapi saya harap akan ada banyak lagi perlawanan selepas ini," jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram