KETUA jurulatih Sabah FC, Jean-Paul de Marigny enggan dilihat sebagai pihak yang banyak alasan ketika kalah, namun menegaskan terdapat beberapa insiden yang disifatkannya sebagai meragukan dalam perlawanan akhir Piala FA 2025 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Sabah FC pada Ahad.
De Marigny memilih untuk tidak mengkritik secara terbuka pengadil, Kamil Zakaria Ismail tetapi jelas kecewa terutamanya terhadap dua pemain yang menurutnya memberi kesan besar kepada semangat pemain Sabah FC.
Insiden pertama membabitkan jaringan Ajdin Mujagic pada minit ke-25 yang dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati pemain itu menolak Natxo Insa terlebih dahulu.
BACA LAGI: Pernah berlatih di Ipoh, bintang muda Mesir kini dalam radar Barcelona

JDT muncul juara dalam perlawanan akhir Piala FA 2025 selepas membelasah Sabah 5-0. — Facebook/sabahfc
Sekiranya gol tersebut disahkan, ia berpotensi menaikkan semangat pasukan Sabah yang ketika itu sudah ketinggalan 0-3.
Insiden kedua pula menyaksikan Miguel Cifuentes dilayangkan kad kuning kedua kerana didakwa melakukan kekasaran terhadap Jonathan Silva.
Namun, de Marigny berpendapat Cifuentes sebenarnya yang dikasari, dengan merujuk kepada kedudukan badan kedua-dua pemain ketika perlanggaran berlaku.
“Saya tidak gemar bercakap mengenai pengadil kerana ia satu tugas yang sukar, tetapi dari sudut pandangan saya, kedua-dua insiden itu kelihatan agak pelik.
"Kami menjaringkan gol yang sangat cantik, tetapi ia dibatalkan dan itu amat mengecewakan buat pasukan serta pemain. Itu insiden pertama.
“Insiden kedua juga terasa janggal kerana pemain kami berada di hadapan pemain lawan. Secara peribadi, saya fikir sepatutnya kad kuning diberikan kepada pemain lawan, tetapi ia tidak berlaku. Terpulang kepada orang ramai untuk menilainya,” katanya lagi.
Pada masa sama, de Marigny menegaskan keputusannya menggantikan Damien Lim dengan Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-73 bukan sesuatu yang luar biasa.
“Khairul adalah ikon bola sepak Malaysia. Dia sudah bermain lebih 60 perlawanan bersama pasukan kebangsaan dan merupakan seorang insan yang hebat di luar padang. Saya fikir itu satu pengajaran berharga buat Damien, tetapi terpulang kepadanya sama ada mahu menerimanya atau tidak.
“Saya merasakan Damien menunjukkan keputusan dan pengagihan bola yang baik pada beberapa ketika, namun itu masih aspek yang perlu dipertingkatkan.
“Dalam situasi perlawanan tersebut, saya memberi ganjaran kepada Khairul kerana diaseorang profesional sejati. Namun, saya fikir reaksi Damien kurang memuaskan,” katanya.

Hidalgo (dua kiri) dikawal ketat oleh pemain pertahanan Sabah FC. — Facebook/sabahfc
Sementara itu, ketiadaan pemain sayap kebangsaan, Arif Aiman Hanapi akibat kecederaan menyaksikan Manuel Hidalgo tampil menggalas tanggungjawab bersama skuad Harimau Selatan dan pemain itu melakukannya dengan penuh bergaya.
Pemain kelahiran Argentina itu mempamerkan aksi cemerlang untuk membantu JDT merangkul kejuaraan Piala FA keempat berturut-turut selepas membelasah Sabah 5-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Hidalgo, yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan, kekal merendah diri dan mengakui tiada siapa mampu menggantikan peranan Arif di posisi sayap kanan Harimau Selatan.
“Saya cuba bersedia sebaik mungkin, tetapi saya tidak akan mengambil tempat Arif. Tiada siapa di Malaysia boleh menggantikan Arif. Dia adalah pemain terbaik yang kami miliki dan kami tidak sabar untuk menyambut kepulangannya selepas pulih daripada kecederaan.
“Saya hanya mengikut arahan jurulatih dalam apa jua peranan yang diberikan, cuba mendapatkan sebanyak mungkin minit permainan dan memahami bahawa ini adalah JDT, sebuah pasukan yang dipenuhi pemain berkualiti.
"Jika saya tidak bermain, ia disebabkan persaingan dalam pasukan. Jadi saya cuba menikmati setiap peluang yang ada,” kata Hidalgo.
Arif kini diketepikan selama tiga bulan akibat kecederaan dan telah dihantar ke Finland bagi menjalani pembedahan serta rawatan susulan. — The Star/ADAM ZAMRI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
