'Biar MFL takrif', tifo '18SG' JDT dianggap tak sesuai buat kanak-kanak


  • Podium
  • Selasa, 16 Dis 2025

Tifo JDT pada perlawanan akhir menampilkan unsur lanun memegang pistol bagi membakar semangat pemain di atas padang.

MESKIPUN hanya kira-kira 40,000 penonton hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad lalu, kemeriahan masih dapat dirasakan bagi perlawanan akhir Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Sabah FC.

Pertembungan yang berakhir dengan kemenangan 5-0 kepada skuad Harimau Selatan menyaksikan puluhan ribu peminat pasukan Selatan tanah air itu cukup bergembira.

Malah, sebelum perlawanan, penyokong sudah bersedia meraikan kelab kesayangan mereka itu dengan menyediakan tifo seperti mana sering disaksikan di pentas final sebelum ini.

BACA LAGI: 'Kad merah buat Israel', tifo fans Sang Penyu kedengaran hingga ke London

BACA LAGI: Bukan sahaja di SSI, tapi ada 5 lagi tifo ikonik pernah warnai stadium Liga Super

Unsur lanun memegang pistol serta mesej ringkas Who's next menjadi pilihan kumpulan peminat 'Boys of Straits' yang sekali lagi berjaya mencuri perhatian pengikut bola sepak tanah air.

Bagaimanapun, masih terdapat segelintir penyokong yang seperti kurang senang dengan tifo berkenaan, termasuk Zuriami Zukri yang mempersoalkan hasil seni itu menerusi hantaran di Facebook peribadinya.

"18SG? Biar MFL takrifkan dan buat garisan. Saya tidak kata kepada JDT, tetapi mana-mana pasukan rasanya tidak boleh gunakan gambar begini, kerana dalam stadium ada kanak-kanak dan wanita. 

"Jadi, nak tengok apa respons dan pandangan daripada MFL (Liga Bola Sepak Malaysia), adakah pihak berwajib dalam stadium bertindak balas dengan gambar sebegini?" tulisnya.

Frasa 18SG digunakan pengguna Facebook itu merujuk kepada label pernah digunakan Lembaga Penapisan Filem (LPF) terhadap mana-mana karya berunsur keganasan.

MFL memulakan gerakan yang menolak unsur buli dan keganasan dalam negara.

Luahan berkenaan dibuat kerana arena bola sepak tempatan sebelum ini dijadikan platform untuk menghentikan keganasan yang sebelum ini mencemarkan sukan terbabit.

"Apa-apa keputusan dari MFL akan menjadi rujukan pada masa depan dan kita tidak mahu gambar-gambar sebegini dinormalisasikan. Kanak-kanak, malah mungkin wanita akan faham bola sepak itu adalah satu peperangan berbanding penyatuan," kata Zuraimi lagi.

Penjelasan diberikan peminat bola sepak tempatan tersebut memberi gambaran bahawa bola sepak boleh dijadikan medan merapatkan hubungan meskipun berbeza minat dan kepercayaan.

Meskipun tifo peminat JDT tersebut menjadi perbincangan hangat, MFL tidak memberi sebarang respons mengenainya kerana ia tidak mengundang unsur keganasan secara terbuka.

Selain itu, suasana di Stadium Nasional Bukit Jalil ketika perlawanan berkenaan berjalan lancar dengan hanya suasana hangat dirasakan susulan tindakan penyokong Sabah FC yang membaling suar pada babak kedua permainan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram