BEKAS tonggak tengah Manchester United, Jesse Lingard dikhabarkan bakal memperkuatkan skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) menjelang jendela perpindahan pada Januari nanti.
Desas-desus Lingard akan menyarung jersi pemenang Piala FA 2025 itu bermula selepas namanya terpampang dalam laman sesawang JDT, namun tiada maklumat lain diletakkan selain nama, negara kelahiran, posisi dan bekas kelabnya.
Begitupun, ia bukanlah sesuatu yang janggal apabila nama seperti bintang Buriram United seperti Suphanat Mueanta dan pemain dalam Liga Malaysia (Liga-M) juga boleh didapati dalam laman tersebut.
BACA LAGI: Hilang 6 pemain termasuk Bergson, Munoz masih yakin trofi Piala FA milik JDT
BACA LAGI: [VIDEO] 'I love botak', Sumareh ceriakan kem JDT menjelang final Piala FA
Walaupun begitu, ia tidak boleh menghentikan daripada penyokong untuk terus menyimpan hasrat agar khabar angin bekas bintang FC Seoul berkenaan untuk melangkah ke Iskandar Puteri.
Lingard juga berupaya untuk berhijrah ke Harimau Selatan selepas pemain berusia 33 tahun berkenaan difahamkan memilih tidak menyambung kontrak bersama kelab Korea Selatan, FC Seoul.
Sejak menyertai FC Seoul pada musim 2024, pemain yang juga mampu beraksi di posisi penyerang sayap itu sudah tampil dalam 67 perlawanan dengan merekodkan 19 gol dan 10 bantuan jaringan.
Sekiranya Lingard berada dalam radar JDT, dia antara tiga pemain baharu yang akan menyertai Harimau Selatan pada Januari depan bagi memperkuatkan pasukan di pusingan kedua liga.
Tangkap layar laman sesawang memaparkan nama Lingard.
Perkembangan itu disahkan sendiri oleh pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) yang turut menjelaskan bahawa beberapa pemain import sedia ada bakal dipinjamkan ke pasukan lain bagi memberi ruang kepada muka baharu.
"Buat masa ini, kita memang sudah ada tiga pemain sedia datang ke JDT. Saya tak nak gantikan dengan sesiapa, saya nak tambah.
"Saya akan keluarkan satu atau dua pemain selepas itu,” titah TMJ dalam sesi soal jawab bersama penyokong yang disiarkan di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers.
Bagaimanapun, TMJ memberitahu tiga pemain yang bakal menyertai pasukan itu, dua berasal dari Brazil, manakala seorang lagi dari Portugal, namun identiti mereka masih dirahsiakan sementara menunggu pengumuman rasmi kelab.
Sekiranya Lingard benar-benar tiba di bumi Johor pada Januari nanti, tidak mustahil Tunku Ismail akan menambah bilangan pemain baharu atau membuat penilaian semula terhadap calon yang sedia ada dalam perancangan kelab.
Langkah agresif JDT ini dilihat sebagai usaha untuk mengisi kekosongan akibat kecederaan beberapa tonggak utama termasuk Arif Aiman dan pemain import, Ager Aketxe yang terpaksa diketepikan sehingga pulih sepenuhnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
