BARCELONA dilaporkan semakin hampir untuk mendapatkan khidmat bakat muda Mesir, Hamza Abdelkarim dalam usaha memperkukuhkan skuad pembangunan mereka bagi jangka masa panjang.
Penyerang berusia 17 tahun itu dilihat sebagai prospek penting dan dijangka menyertai pasukan Barca Atletic sekiranya rundingan perpindahan berkenaan berjaya dimuktamadkan.
Perkembangan positif itu sebahagiannya dipengaruhi oleh krisis kecederaan yang melanda Barca Atletic apabila dua penyerang, Oscar Gistau dan Victor Barbera, terpaksa diketepikan untuk tempoh yang panjang.

Penyerang muda Mesir, Hamza Abdelkarim (kiri). — Instagram/hamzaabdelkarim
Situasi tersebut membuka ruang kepada pihak pengurusan Barcelona untuk mempercepatkan urusan perpindahan, dengan laporan menyebut perjanjian berkenaan berpotensi dimeterai seawal Januari.
Sebelum ini, Barcelona dilaporkan berminat mendapatkan Abdelkarim namun berdepan persaingan daripada gergasi Bundesliga, Bayern Munich.
Bagaimanapun, Barcelona dilihat berada di hadapan dalam perebutan tandatangan pemain muda itu selepas Abdelkarim dilaporkan pernah mengunjungi kelab berkenaan bersama Presiden Al Ahly, Mahmoud El Katib pada musim panas lalu bagi meninjau kemudahan kelab.
Menariknya, kisah perjalanan awal karier Abdelkarim turut mencuri perhatian apabila jurulatih bola sepak tempatan, Shazwan Wong berkongsi satu pendedahan menarik di media sosial.
Menurut Shazwan, pemain kelahiran Mesir itu sebenarnya pernah menyertai jelajah ke Ipoh bersamanya kira-kira sedekad lalu.
“Tepat 10 tahun lalu pada hari ini, Hamza bersama kami dalam jelajah ke Ipoh. Hamza merupakan kanak-kanak kecil yang ceria di hujung kanan gambar tersebut, manakala di sebelahnya ialah abangnya, Youssef yang kini beraksi di Sepanyol,” tulisnya menerusi laman X.
Perkongsian tersebut sekali gus menimbulkan keterujaan dalam kalangan peminat bola sepak, yang tidak menyangka pemain yang kini dikaitkan dengan kelab gergasi Sepanyol itu pernah menimba pengalaman awal latihan di Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
