[VIDEO] Bayar tiket mahal sampai sanggup batalkan perkahwinan, ratusan peminat Messi mengamuk terasa dikhianati


  • Podium
  • Ahad, 14 Dis 2025

Messi hanya sempat muncul selama kira-kira 20 minit sebelum dibawa keluar atas faktor keselamatan. — Agensi

KEMUNCULAN legenda bola sepak dunia, Lionel Messi pada hari pertama jelajahnya di India bertukar kecoh apabila peminat mencetuskan huru-hara di Stadium Salt Lake, Kolkata sehingga acara itu terpaksa dibatalkan selepas hanya kira-kira 20 minit berlangsung.

Insiden itu menyaksikan tempat duduk stadium dicabut, pentas acara dirosakkan dan orang ramai menceroboh masuk ke kawasan padang, sekali gus memaksa pihak penganjur menghentikan majlis yang sepatutnya berlangsung selama 45 minit.

Rakaman dan gambar yang tular turut menunjukkan papan iklan memaparkan wajah Messi tergantung dalam keadaan berbahaya dari aras atas stadium, selain individu dilihat memanjat pagar kawalan.

BACA LAGI: [VIDEO] Persis Lamine Yamal-Lionel Messi, fans Eropah tuntut Arif Aiman beraksi di Stamford Bridge

BACA LAGI: Pernah terima lamaran JDT, bintang warisan Sarawak dapat ‘sentuhan’ Messi

Messi hadir bersama dua rakan sepasukan iaitu Rodrigo De Paul dan Luis Suarez, namun suasana menjadi tidak terkawal apabila dia dikerumuni orang ramai termasuk ahli politik, wakil media serta sekurang-kurangnya seorang pengawal bersenjata automatik.

Menurut laporan India Today, keadaan bertambah buruk apabila kawalan keselamatan terpaksa menghentikan rondaan stadium berikutan jumlah kehadiran yang terlalu ramai mengelilingi pemain kebangsaan Argentina itu.

Bintang Argentina berkenaan yang dijadualkan berada di stadium selama 45 minit hanya sempat muncul selama kira-kira 20 minit sebelum dibawa keluar atas faktor keselamatan.

Susulan kejadian berkenaan ketua penganjur acara tersebut iaitu Satadru Dutta ditahan pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Polis Bengal Barat, Rajeev Kumar memaklumkan bahawa Dutta telah memberi jaminan secara bertulis bahawa semua tiket yang dijual bagi acara berkenaan akan dipulangkan.

Dalam pada itu, penyokong meluahkan rasa kecewa apabila kemunculan yang dinanti-nantikan itu tidak setimpal dengan harga tiket yang dibayar.

"Hanya pemimpin dan pelakon yang berada dekat dengan Messi. Kami membeli tiket bernilai 12,000 rupee (RM544), tetapi langsung tidak dapat melihat wajahnya," kata seorang peminat kepada agensi berita ANI.

Bukan itu sahaja, laporan media turut mendedahkan beberapa reaksi emosi melampau daripada para peminat susulan kekecohan yang berlaku, termasuk kisah perkahwinan dan bulan madu yang terpaksa dibatalkan semata-mata untuk bertemu Messi.

Skala kekecewaan itu jelas menggambarkan pengorbanan besar yang dilakukan oleh penyokong setia legenda Barcelona tersebut demi menghadiri acara tersebut, namun akhirnya pulang dengan rasa hampa.

Sepasang suami isteri mendedahkan bahawa mereka sanggup membatalkan rancangan bulan madu selepas melangsungkan perkahwinan demi peluang bertemu idola mereka.

“Kami berkahwin pada Jumaat lalu dan membatalkan bulan madu kerana Messi akan datang. Ini sangat penting buat kami. Kami telah mengikutinya sejak 2010," kata salah seorang peminat itu.

Dalam pada itu, seorang lagi penyokong mengakui dia meninggalkan majlis perkahwinannya sendiri semata-mata untuk melihat kelibat bintang Inter Miami tersebut.

“Ini hari perkahwinan saya, tetapi saya meninggalkan semua majlis untuk berada di sini hanya untuk Messi. Namun pengurusan acara sangat mengecewakan sehingga saya langsung tidak dapat melihatnya," katanya dengan nada kecewa.

Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee turut tampil memohon maaf kepada Messi dan mengarahkan siasatan segera dijalankan.

"Saya amat terganggu dan terkejut dengan salah urus yang berlaku di Stadium Salt Lake hari ini (Sabtu).

"Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada Lionel Messi, serta semua pencinta sukan dan peminatnya atas insiden yang tidak diingini ini," katanya dalam hantaran di platform X.

Antara kerosakan yang dilakukan oleh penyokong di stadium berkenaan. — Agensi

Setakat ini, penganjur jelajah tiga hari Messi di India masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kejadian berkenaan.

Untuk rekod, Messi secara maya merasmikan sebuah patung dirinya setinggi 70 kaki (21 meter) di Kolkata pada Sabtu dan turut dijadualkan mengunjungi Hyderabad, Mumbai dan New Delhi sepanjang lawatannya.

Pemain berusia 38 tahun berkenaan dijangka menghadiri beberapa program termasuk acara bola sepak remaja, konsert, kejohanan padel serta pelancaran inisiatif kebajikan.

Bola sepak mempunyai pengaruh besar di beberapa negeri India seperti Bengal Barat, Kerala dan Goa, meskipun kriket kekal sebagai sukan paling dominan di negara berkenaan.

Legenda Argentina, Diego Maradona sebelum ini pernah mengunjungi Kolkata sebanyak dua kali dan pada 2017 merasmikan sebuah patung dirinya di bandar itu sambil memegang Piala Dunia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram