Gagal terjemah pelan punca Harimau Muda dimalukan Vietnam, nasib kini tergantung di tangan Indonesia


  • Podium
  • Khamis, 11 Dis 2025

Peluang skuad B-23 negara menyumbang pingat dalam temasya kali ini semakin tipis susulan kekalahan tersebut. — Facebook/FAM

HARAPAN skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara untuk merangkul sebarang pingat dalam temasya Sukan SEA kali ini semakin tipis susulan kekalahan 0-2 kepada Vietnam pada Khamis.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Rajamangla, Bangkok, benteng anak-anak buah Nafuzi dibolosi seawal minit ke-10 hasil jaringan Nguyen Hiu Minh.

Gawang mereka sekali lagi bocor kira-kira 11 minit kemudian apabila Pham Minh Phuc menampan masuk hantaran rakan sepasukan yang menewaskan penjaga gol negara, Zulfadhli Mohamed.

BACA LAGI: Miss Thailand 2023 galas tugas istimewa, bangga bawa papan tanda Malaysia di Sukan SEA 2025

BACA LAGI: Galas tanggungjawab sebagai jurunavigasi, Permaisuri Thailand bakal bertanding di sukan SEA 2025

Skuad B-23 negara kini berada di kedudukan kedua Kumpulan B Sukan SEA 2025. Facebook/FAM

Kedudukan 0-2 berpihak kepada Vietnam kekal sehingga wisel penamat ditiupkan dengan segala usaha untuk mengikat kedudukan gagal membuahkan hasil.

Keputusan berkenaan sememangnya sukar diterima peminat bola sepak tanah air yang sekali lagi terpaksa menyaksikan kegagalan pasukan pelapis negara.

Antara yang lantang membuat kritikan atas kekalahan tersebut ialah pengguna Facebook, Saiful Saizri yang beranggapan kesukaran menterjemah pelan permainan punca kekalahan itu.

"Kita memang lemah. Ini masalah, selalu payah untuk tembus masuk ke pasukan yang main formasi 5-4-1 atau 5-3-2. Idea sudah ada dalam pergerakan, tetapi lambat sungguh buat hantaran. Tiada percubaan jauh yang efektif hendak dibuat?

"Separuh masa kedua tidak cukup bagus. Memang kualiti kita jauh hendak dibanding dengan Vietnam, Thailand, Filipina atau Indonesia untuk B-23 ini, kena akui hakikat yang merosotnya skuad bawah umur kita," katanya.

Prestasi Harimau Muda kerap menjadi topik perbualan peminat bola sepak tempatan. Facebook/FAM

Penyokong terbabit turut mengharapkan agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat menyedari kesilapan itu agar masalah sedemikian tidak berulang.

Isu skuad pelapis bukan sahaja disuarakan peminat tersebut, malah sudah bertahun-tahun dibincangkan dengan harapan perubahan dapat disaksikan.

Bagaimanapun, sehingga hari ini, tiada pelan atau perubahan cuba diterapkan badan induk bola sepak negara tersebut yang jelas hanya mementingkan pasukan utama.

Kekalahan kepada Vietnam itu menyaksikan Harimau Muda kini berada di kedudukan kedua Kumpulan B dengan tiga mata terkumpul hasil kemenangan ke atas Laos dalam aksi pembukaan.

Peluang untuk mara ke pusingan kalah mati masih terbuka buat skuad B-23 kebangsaan, namun perlu menunggu keputusan perlawanan antara Indonesia dan Myanmar pada Jumaat untuk menentukan naib juara terbaik kumpulan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram