SKUAD Harimau Selatan kini memerlukan rekrut baharu di pelbagai posisi, lebih-lebih lagi dalam misi pasukan merebut tempat ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.
Hal tersebut turut diakui pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menegaskan sebanyak tiga muka baharu bakal dibawa masuk untuk memperkuatkan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Bagaimanapun, ketika pendedahan itu dibuat, tiada nama diutarakan dengan hanya klu diberikan adalah berkenaan latar belakang ketiga-ketiga pemain terbabit.
BACA LAGI: Bergson, Ronald Ngah, Mabella bersaing gelaran 'kadar penyudah' paling tinggi di Liga Super
BACA LAGI: Tak mustahil berulang, hatrik Bergson jadi igauan terakhir Melaka hadapi JDT di SSI

Penyokong menyedari Ratao sudah mengikuti JDT dan Bergson di Instagram.
Ini sekali gus membuatkan peminat mula berteka-teki mengenai sasaran juara bertahan Liga Super itu yang boleh membawa pasukan tersebut ke tahap lebih tinggi.
Antara nama mula disebut-sebut ialah penyerang kelahiran Brazil, Rafael Ratao yang sebelum ini beraksi di Jepun bersama Cerezo Osaka.
Khabar angin itu timbul selepas pemain berusia 30 tahun terbabit tidak akan lagi berada di sana selepas tempoh pinjamannya sejak awal musim berakhir.
Keputusan terbabit bakal menyaksikannya kembali ke pangkuan pasukan asalnya, Bahia di Brazil atau menyertai mana-mana pasukan yang sesuai buatnya.
Ini membuatkan peminat JDT meletakkan harapan bagi pihak pengurusan menandatanganinya selepas ramai menyedari pemain itu sudah mengikuti kelab berkenaan di Instagram.

Dion Cools yang kini bersama Cerezo Osaka merupakan rakan sepasukan Ratao. — Agensi
Berdasarkan semakan, pemain berkenaan turut mengikuti tonggak JDT, Bergson da Silva yang sekali gus menghangatkan lagi ura-ura terbabit.
Malah, dia yang juga merupakan rakan sepasukan bintang skuad kebangsaan, Dion Cools sudah tentu boleh dipujuk untuk ke Selatan tanah air sekiranya terdapat tawaran dibuat.
Keputusan itu membuatkan ramai beranggapan Ratao sudah menawarkan diri untuk menyertai skuad Harimau Selatan yang sedang sibuk mencari rekrut baharu dalam jentera serangan.
Untuk rekod, Ratao merupakan penyerang cukup berkaliber buat Cerezo Osaka selepas mencatatkan 18 gol dan tiga bantuan jaringan dalam 36 penampilan.
Sepanjang kariernya pula, pemain itu mempunyai pengalaman cukup luas, termasuk di Eropah apabila pernah beraksi di Ukraine buat Zorya Lugansk serta di Perancis bersama FC Toulouse. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
