MENJELANG aksi final Piala FA 2025 pada Ahad, ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menerima suntikan semangat apabila legenda Liverpool, Luis Garcia tampil memberikan sokongan terbuka terhadap pendekatan dan taktikalnya.
Final yang dinanti-nantikan itu bakal menyaksikan pertembungan sengit antara juara bertahan Piala FA berkenaan dan Sabah FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Suasana hangat dijangka mengiringi perlawanan apabila tiket hampir habis terjual, dengan penyokong kedua-dua pasukan bersedia membanjiri stadium sambil membawa sorakan serta lautan warna kebanggaan masing-masing.
BACA LAGI: JDT pilih jalan sukar mara ke saingan kalah mati ACL Elite
BACA LAGI: [VIDEO] Jangan risau fans JDT, 2 gergasi China pernah 'terciduk' di SSI
Juara 11 kali berturut-turut Liga Super berkenaan dilabel sebagai pasukan pilihan berdasarkan reputasi besar serta rekod cemerlang dalam kejohanan domestik.
Namun begitu, prestasi semasa Harimau Selatan sedikit meresahkan penyokong apabila pasukan itu gagal meraih kemenangan dalam dua aksi terakhir di peringkat antarabangsa.
Skuad kendalian Munoz sekadar mencatat keputusan seri 2-2 ketika menentang PKR Svay Rieng dalam aksi ketiga Piala Shopee Cup, sebelum terikat tanpa jaringan menentang Shanghai Port FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACL).
Rentetan keputusan berkenaan mencetuskan persoalan dalam kalangan peminat Harimau Selatan mengenai pendekatan taktikal jurulatih dari Sepanyol berkenaan.
Dalam situasi tersebut, Garcia yang kini memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) tampil mempertahankan Munoz dengan menyatakan kepercayaan penuh terhadap proses yang sedang dibina.
“Kami percaya dalam proses ini, jurulatih,” tulis Garcia menerusi Insta Story miliknya, sekali gus memberi isyarat sokongan moral kepada Munoz menjelang perlawanan terbesar domestik musim ini.
Sokongan figura berprofil tinggi itu dilihat mampu meredakan tekanan ke atas Munoz, selain menjadi pembakar semangat buat barisan pemain JDT untuk kembali mempamerkan prestasi terbaik dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala FA.
Untuk info, pelantikan Garcia pada Mac lepas dilakukan berikutan penstrukturan bagi memperkuat serta memaksimumkan kepakaran dalam bidang pengurusan kelab. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
