SELANGOR FC akhirnya meraih mata pertama di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two musim ini selepas mengikat Bangkok United di tempat lawan pada Rabu.
Perlawanan itu menyaksikan pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Rungrath Phumichantuk pada minit ke-51 permainan.
Bagaimanapun, semangat juang terus dipamerkan anak-anak buah Christopher Gamel yang akhirnya mengikat kedudukan hasil gol masa kecederaan daripada Chrigor Moraes.
BACA LAGI: Tak sempat keluar peluh, import Selangor FC tinggalkan kelab
BACA LAGI: FAM tolak rayuan Selangor, kekal dihukum denda dan beraksi tanpa penyokong

Chrigor (kiri) menjaringkan gol lewat untuk memastikan satu mata diperolehi skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Keputusan seri itu menyaksikan skuad Gergasi Merah menamatkan rentetan empat kali kekalahan berturut-turut dalam Kumpulan G setakat ini.
Meskipun satu mata diraih di Thailand tersebut tidak mengubah kedudukan mereka, ia sekurang-kurangnya mengelakkan kelab Lembah Klang itu daripada terus menjadi bahan gurauan.
Tidak cukup dengan itu, keputusan seri berkenaan sedikit sebanyak membawa sumbangan terhadap kedudukan negara dalam carta MA ranking.
Berdasarkan kemas kini terbaru, Malaysia berada di kedudukan ke-11 di Asia secara keseluruhan dan di tangga keenam bagi negara di Zon Timur.

Malaysia kini berada di kedudukan ke-11 bagi kutipan mata MA ranking secara keseluruhan di Asia.
Kedudukan itu menyaksikan terdapat dua pasukan akan mewakili negara setiap musim dengan satu daripadanya akan layak secara automatik ke ACL Elite sementara satu lagi akan ke ACL Two.
Sumbangan tersebut membuatkan penyokong memuji semangat juang Selangor FC di Thailand meskipun faham bahawa setiap kekalahan dialami sebelum ini amat merugikan.
"Boleh pun seri, bukan tak boleh buat. Seri dan menang dapat tambah mata MA, baki perlawanan kasi menang, pasti boleh. Jangan takut, demi mata MA," kata Hidup Separuh.
"Selangor berjaya mencuri satu mata dan menyumbang MA Ranking kepada Malaysia. Kebanyakan pemain utama direhatkan untuk fokus perlawanan separuh akhir kedua Piala FA nanti," kata Razif Ajib.

Skuad Harimau Selatan merupakan penyumbang terbesar mata MA ranking negara musim ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
"Akhirnya, dapat juga satu mata. Dapat juga sekurang-kurangnya menyumbang mata MA ranking buat negara. Apa-apa pun, kena cuba menang untuk perlawanan selepas ini," kata Naim Malik.
Setakat ini, penyumbang terbesar buat mata MA ranking negara adalah Johor Darul Ta'zim (JDT) yang merekodkan dua kemenangan dan satu keputusan seri dalam ACL Elite.
Baki perlawanan dalam Kumpulan G ACL Two musim ini bakal menyaksikan skuad Gergasi Merah menerima kunjungan Lion City Sailors di Stadium MBPJ, Selangor pada 10 Disember.
Selepas itu, pasukan berkenaan akan memberi tumpuan kepada saingan peringkat domestik serta Piala Shopee yang akan kembali berlangsung pada Januari depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
