[VIDEO] Kereta 'dihempap' pesawat mendarat cemas, pemandu wanita hanya cedera ringan


  • Benua
  • Rabu, 10 Dis 2025

Tangkap layar memaparkan keadaan pesawat ringan yang terhempas di atas sebuah Toyota Camry ketika melakukan pendaratan cemas.

 

 

SEBUAH pesawat ringan dilaporkan terhempas di atas sebuah Toyota Camry ketika melakukan pendaratan cemas di Lebuhraya Interstate-95 berhampiran Merritt Island, Florida, Amerika Syarikat pada Isnin.

Pesawat jenis Beechcraft 55 Baron itu dipercayai cuba mendarat selepas menghadapi kecemasan sebelum merempuh bahagian atas kereta berkenaan.

Insiden itu dirakam oleh pemandu sebuah kenderaan yang berada di belakang Camry tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Didakwa promosi budaya Barat, 4 pemuda ikut fesyen ala Peaky Blinders mohon maaf

BACA LAGI: [VIDEO] Buat kerja tak 'clean', 3 polis India digantung tugas akibat buang mayat sebab mahu 'mengelat'

Menerusi rakaman video yang dikongsikan di media sosial, pesawat itu dilihat mendarat di atas bumbung Camry dan beberapa saksi dilaporkan turut menyaksikan kejadian berkenaan.

Menurut laporan, seorang saksi bernama Peter Coffey berkata, dia pada awalnya menyangka pesawat itu tidak akan mengenai kereta tersebut, namun salah satu tayar pesawat akhirnya melanggar bahagian belakang kenderaan berkenaan.

Begitupun, tiada kecederaan serius dilaporkan.

Juruterbang berusia 27 tahun dan seorang penumpang yang berada di dalam pesawat tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, pemandu Toyota Camry, seorang wanita berusia 55 tahun, hanya mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan.

Susulan insiden itu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca pendaratan cemas tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram