[VIDEO] Didakwa promosi budaya Barat, 4 pemuda ikut fesyen ala Peaky Blinders mohon maaf


  • Gaya
  • Rabu, 10 Dis 2025

Empat pemuda ditahan kerajaan Taliban kerana berpakaian seperti watak Peaky Blinders.

EMPAT anak muda di Afghanistan ditahan pihak berkuasa Taliban dan dihantar ke program pemulihan selepas mereka dilihat berkeliaran di tempat awam dengan berpakaian seperti watak kegemaran mereka daripada siri drama British popular, Peaky Blinders.

Kementerian Amar Makruf Nahi Munkar memaklumkan bahawa keempat-empat rakan itu menjadi popular di kawasan Jibrail, Herat kerana sering berjalan dengan gaya kot trench dan topi jenis flat cap, sekali gus menjadi punca penahanan atas dakwaan menggalakkan budaya asing.

Jurucakap kementerian, Saif-ur-Islam Khyber berkata, kesemua mereka berusia awal 20-an dan ditahan di Jibrail.

BACA LAGI: [VIDEO] Buat kerja tak 'clean', 3 polis India digantung tugas akibat buang mayat sebab mahu 'mengelat'

BACA LAGI: Bapa terkorban ketika jemput anak dari sekolah di Nilai

“Mereka mempromosikan budaya asing dan meniru pelakon filem Barat. Mereka ditahan dan program pemulihan dimulakan.

“Kita adalah Muslim dan rakyat Afghanistan. Kita ada agama, budaya dan nilai kita sendiri,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Namun ketika dihubungi CBS News, Khyber menjelaskan bahawa mereka sebenarnya tidak ditahan secara rasmi, hanya dipanggil untuk diberi nasihat dan kemudian dibebaskan.

Menurutnya, pakaian ala watak Peaky Blinders itu tidak mencerminkan identiti Afghanistan dan bertentangan dengan nilai masyarakat.

Rakaman video oleh kementerian menunjukkan empat pemuda tersebut dikenali sebagai Asghar Husinai, Jalil Yaqoobi, Ashore Akbari dan Daud Rasa.

Mereka sebelum ini sering menjadi perhatian di media sosial apabila berjalan seiring memakai pakaian yang meniru gaya keluarga Shelby dalam siri Netflix.

Dalam satu temu bual bersama saluran YouTube tempatan, Hirat Mic, mereka berkata, ramai penduduk tempatan menghargai gaya mereka.

“Pada mulanya kami segan, tetapi apabila keluar, orang suka, berhenti untuk bergambar,” kata Yaqoobi.

Namun pihak berkuasa Taliban menganggap pakaian itu bertentangan dengan nilai Islam dan budaya Afghanistan.

Sebuah video yang disiarkan kementerian turut memaparkan audio seorang daripada mereka menyatakan penyesalan kerana memakai pakaian Barat tersebut.

“Saya ditegur dan dinasihatkan dan saya tidak akan ulangi perkara ini,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram