SELANGOR FC bakal menamatkan cabaran mereka dalam Kumpulan G Liga Juara-Juara AFC Two (ACL2) apabila menerima kunjungan Lion City Sailors di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Rabu.
Aksi terakhir itu menjadi medan terakhir skuad Gergasi Merah untuk menambah mata selepas hanya mengutip satu poin setakat in, hasil keputusan seri 1-1 menentang Bangkok United di Bangkok sebelum ini.
Walaupun kemenangan ke atas wakil Singapura itu berkemungkinan mampu menjadi penutup positif, ia tetap tidak cukup untuk mengubah nasib Selangor yang sudah pun tersingkir daripada saingan susulan empat kekalahan terdahulu.
BACA LAGI: Sebelum Selangor, Kedah jadi kelab lokal terakhir terima kunjungan Lion City Sailors
Dengan pintu ke pusingan seterusnya tertutup rapat, tumpuan kini beralih kepada perancangan jangka panjang.
Pertemuan terakhir itu dilihat sebagai peluang terbaik untuk ketua jurulatih, Christophe Gamel menurunkan beberapa pemain muda bagi merasai pengalaman beraksi di peringkat Asia.
Oleh itu, Majoriti mengetengahkan tiga pemain muda Selangor yang wajar diberi peluang untuk membuktikan kemampuan mereka di pentas serantau.
1. Raimi Shamsul
Bek kanan muda Selangor FC, Raimi Shamsul terus mencuri perhatian musim ini apabila semakin mendapat kepercayaan dalam skuad utama, sekali gus menampilkan potensi besar sebagai salah seorang prospek masa depan Gergasi Merah.
Pada musim lalu, Raimi memainkan peranan penting dalam kempen Piala MFL dan turut diberikan tanggungjawab sebagai ketua pasukan Selangor II, bukti keyakinan barisan kejurulatihan terhadap kematangannya di dalam padang.
Pemain berusia 23 tahun itu kini telah membuat tiga penampilan di pentas Liga Juara-Juara AFC Two (ACL2) bersama skuad senior, selain satu aksi dalam saingan Piala Shopee.

Bek kanan muda Gergasi Merah, Raimi Shamsul. — Facebook/selangorfc
Pencapaian itu dianggap perkembangan positif bagi produk akademi Selangor yang semakin bersedia melangkah lebih jauh.
Penyertaannya dalam skuad utama juga dilihat tepat pada masanya, memandangkan posisi bek kanan ketika ini hanya bergantung kepada Quentin Cheng dan Zikri Khalili.
Situasi itu membuka ruang luas buat Raimi untuk mengetengahkan keupayaan sebenar serta menambah kedalaman dalam pertahanan Selangor.
Oleh itu, Raimi wajar diberi peluang lebih banyak minit permainan, terutama dalam aksi terakhir ACL2 bagi mengasah pengalaman dan mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu tonggak masa depan buat Selangor baik dalam saingan domestik mahupun peringkat Asia.
2. Azim Al Amin
Penjaga gol muda Selangor FC, Azim Al Amin tampil sebagai antara nama yang wajar diberi kepercayaan untuk mengawal benteng terakhir Gergasi Merah dalam aksi menentang Lion City Sailors.
Berdasarkan rekod Transfermarkt, Azim masih belum mencatatkan sebarang penampilan bersama skuad utama Selangor pada musim 2025/26, sekali gus menjadikan perlawanan terakhir Kumpulan G ACL2 sebagai pentas terbaik untuknya membuktikan kemampuan sebenar.
Dengan ketinggian 1.73 meter, Azim bukan sekadar penjaga gawang muda, tetapi juga pernah menunjukkan ketenangannya dalam beberapa aksi penting sebelum ini.

Penjaga gol muda, Azim Al Amin setakat ini belum mencatatkan sebarang penampilan bersama Selangor. — Facebook/selangorfc
Musim lalu, ketika beraksi dalam kempen ACL2 2024/25, Azim memainkan peranan besar apabila membantu Selangor mencatat kemenangan ke atas Cebu (1-0) dan gergasi Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai (2-1).
Pengalaman di pentas Asia itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa Azim memiliki kualiti dan keyakinan untuk beraksi pada tahap lebih tinggi.
Justeru, memberikan peluang kepadanya dalam perlawanan terakhir ini bukan sahaja memberi ruang untuk menambah minit permainan, tetapi juga memperkukuh persaingan sihat dalam posisi penjaga gol Selangor.
3. Omid Musawi
Penyerang muda Afghanistan, Omid Musawi muncul antara pemain yang layak diberi peluang untuk mengetuai barisan serangan Selangor FC dalam aksi terakhir ACL2.
Musawi yang merupakan penyerang kelahiran Afghanistan itu memulakan kariernya di Selangor menerusi skuad B-23 dalam saingan Piala MFL.
Sejak itu, penyerang berusia 24 tahun itu mempamerkan perkembangan positif, bukan sahaja dari segi impak di atas padang tetapi juga kerjasama baik bersama rakan sepasukan.

Penyerang import, Omid Musawi wajar diberi peluang untuk mengetuai barisan serangan Selangor FC dalam aksi terakhir ACL2. — Facebook/selangorfc
Kesungguhan dan ketekunannya menjalani latihan secara konsisten bersama skuad utama sepanjang musim 2024/25 akhirnya membuahkan hasil apabila dia berjaya menarik perhatian barisan kejurulatihan, sekali gus disenaraikan dalam skuad senior musim ini.
Dengan Selangor sudah tersingkir daripada perebutan slot ke pusingan seterusnya, perlawanan terakhir Kumpulan G menjadi platform ideal untuk memberi Musawi lebih minit permainan dan tanggungjawab dalam mengetuai serangan Gergasi Merah.
Walaupun sudah tampil dalam tiga aksi ACL2, Musawi masih wajar diberi kepercayaan tambahan bukan saja untuk menutup kempen Asia dengan pengalaman lebih matang, tetapi juga bagi membantu mempersiapkan jentera serangan Selangor menghadapi saingan Liga Malaysia yang bakal berlangsung. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
