Bergaduh dengan Slot, Salah mungkin senasib bakal pengurus Liverpool


  • Podium
  • Rabu, 10 Dis 2025

Situasi Salah (kiri) seakan apa yang dilalui Alonso (tengah) semasa dia bermain untuk Liverpool.

MOHAMED Salah mungkin akan menemui pintu keluar dari Anfield selepas kontroversi melibatkan dirinya dengan pengendali Liverpool, Arne Slot.

Salah secara terbuka mengeluarkan komen mengatakan dirinya 'dicampak ke bawah bas' oleh pengurusan Liverpool lebih-lebih lagi selepas terdedahnya perkhabaran dia sedang diatur perpindahannya secara senyap ke Arab Saudi.

Disebabkan komen Salah itu, timbul banyak reaksi mengatakan yang tiada yang lebih besar berbanding kelab namun begitu, adakah wajar pemain itu dicerca sebegitu teruk?

BACA LAGI: Salah ‘tercicir’ ke Itali sebab bakal dijual, Liverpool pancing legenda ganti Slot

BACA LAGI: Rasa macam kena campak bawah bas — Mo Salah

Salah tidak lebih besar berbanding Liverpool

Komen yang ditinggalkan oleh Salah itu jelas mencetuskan pelbagai reaksi hingga ada kelompok pro-Salah dan pro-Liverpool.

Bagi yang memihak kelab, mereka akan mengatakan yang tiada satu pemain pun yang lebih besar daripada sebuah kelab.

Salah mula kehilangan tempatnya dalam kesebelasan utama Liverpool musim ini.

Hal ini kerana, pemain datang dan pergi namun kelab akan teguh berdiri merentasi zaman.

Namun begitu, tidak semua pemain yang datang akan pergi meninggalkan kenangan manis buat penyokong setia.

Jangan nafikan legasi

Memang betul, Salah tidak lebih besar daripada Liverpool namun janganlah dinafikan legasinya buat The Reds.

Untuk 10 musim ke belakang terutamanya semasa era Jurgen Klopp, dia adalah pemain terbaik Liverpool dengan gol-golnya memastikan The Reds terus mencabar kejuaraan.

Malah pada satu tahap, namanya disebut-sebut sebagai calon pemenang Ballon d'Or walaupun rezeki tidak memihak kepadanya.

Salah meraih pelbagai kejayaan sepanjang bersama Liverpool.

Salah menjadi nadi kepada gelaran liga pertama Liverpool dalam tempoh 30 tahun sambil membantu The Reds meraih gelaran sebaga juara England buat kali ke-20 serta merangkul trofi utama Eropah.

Itu sebahagian daripada pelbagai legasi disumbangkan Salah untuk Liverpool, walaupun ada yang kecewa dengan komennya terhadap kelab jangan pernah menafikan jasanya buat The Reds.

Elakkan situasi Alonso

Krisis dialami Liverpool ketika ini tidak ubah seperti apa yang pernah dialami oleh legenda kelab dan calon pengganti Slot iaitu Xabi Alonso.

Ketika bermain untuk The Reds pada musim 2008/2009, Alonso mengalami perbalahan dengan pengurus ketika itu, Rafael Benitez akibat kecenderungan pengendali tersebut mendapatkan Gareth Barry.

Alonso rasa tidak dihargai walaupun selepas membantu Liverpool memenangi kejuaraan Eropah pada 2005 disebabkan pengurusnya lebih cenderung mendapatkan pemain baharu.

Alonso (kiri) pernah bergaduh dengan Benitez.

Dia kemudiannya membawa diri ke Real Madrid dan selepas itu Liverpool terus merudum lalu Benitez dipecat.

Boleh dikatakan Liverpool tidak menguruskan situasi Salah dan Slot dengan baik hinggakan penyokong terbelah kepada dua.

Liverpool mengambil masa lama untuk membina zaman emas mereka, jangan kerana satu krisis terus musnah segalanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram