JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) Kedah menjalankan siasatan terhadap sebuah sekolah rendah di Bedong yang menjemput pempengaruh untuk merasmikan program, Ahad lalu.
Dalam kenyataan dikeluarkan oleh JPN Kedah pada Selasa, mereka memandang serius tindakan tersebut yang dilihat tidak selari dengan Falsafah Pendidikan Negara (FPN).
Pempengaruh tersebut dilaporkan merasmikan program anugerah akademik di sekolah tersebut.
BACA LAGI: Harimau Muda dilanda ujian tak diduga, Haqimi Azim pulang akibat kehilangan bapa tiri
BACA LAGI: Masih ada peranan, Selangor boleh jadi 'kingmaker' walaupun sudah tersingkir
JPN Kedah mengatakan yang tindakan tegas akan diambil terhadap sekolah tersebut kerana menjemput pihak luar merasmikan majlis tidak mengikut garis panduan ditetapkan.
"Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah memandang serius isu jemputan seorang pempengaruh media sosial merasmikan majlis anugerah akademik di sebuah sekolah di negeri ini.
"Siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati tidak mematuhi peraturan yang sedang berkuatkuasa.
"JPN Kedah mengingatkan semua pentadbir sekolah untuk memastikan jemputan kepada pihak luar mematuhi garis panduan. Tetamu yang dijemput perlu menjadi contoh yang baik selari dengan hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara," kata JPN Kedah dalam kenyataan itu.
Pada Isnin, pempengaruh tersebut mengeluarkan kenyataan dengan mengatakan dia dijemput atas kapasiti sebagai usahawan, bukannya sebagai pempengaruh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
