Bukan hanya Jairo, 2 lagi bekas striker JDT tak kalis kritikan walau tajam depan gol


  • Podium
  • Sabtu, 06 Dis 2025

Selepas kira-kira enam bulan beraksi bersama JDT, persembahan yang ditampilkan Jairo (tengah) masih belum memuaskan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SKUAD Johor Darul Ta'zim (JDT) mempamerkan kebangkitan dramatik apabila bangkit untuk mencatat keputusan seri 2-2 menentang wakil Kemboja, PKR Svay Rieng FC dalam aksi ketiga Kumpulan B Kejohanan Piala Shopee 2025/2026 di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh pada Khamis.

Tuan rumah terlebih dahulu berada di depan menerusi rembatan kencang Cristian Silveira dari luar kotak penalti pada minit ke-29, sebelum pendahulu Liga Kemboja itu menambah satu lagi jaringan lapan minit kemudian.

Gol kedua hadir hasil penyudah kemas Nhean Sosidan yang menyempurnakan hantaran pendek Kwame Peprah dari sebelah kiri, sekali gus meletakkan tekanan besar ke atas pasukan bimbingan Xisco Munoz.

BACA LAGI: Skuad 'feeder' tak layak, Kedah-Perak antara 5 pasukan Liga A1 buru slot Piala Malaysia

BACA LAGI: [VIDEO] Khyril Muhymeen tolak tawaran 'tak masuk akal' JDT kerana arwah ibu

Barisan pemain JDT meraikan kejayaan mengikat kedudukan 2-2 ketika bertemu PKR Svay Rieng FC pada Khamis. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Namun, semangat juang skuad Harimau Selatan tidak luntur apabila mereka merapatkan jurang pada minit ke-90+2 melalui tandukan pertahanan import Shane Lowry selepas menerima hantaran lintang Heberty Fernandes.

Kebangkitan JDT disempurnakan pada minit ke-90+6 apabila La’Vere Corbin-Ong mencetak gol penyamaan, juga menerusi tandukan, memastikan pasukan itu membawa pulang satu mata berharga dan mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan.

Keputusan tersebut menyaksikan JDT terus mengungguli carta Kumpulan B dengan tujuh mata, diikuti wakil Vietnam, Nam Dinh (enam mata), manakala PKR Svay Rieng berada di tangga ketiga dengan empat mata.

Walaupun berjaya bangkit dalam perlawanan itu, sebahagian penyokong masih meluahkan rasa kurang puas hati terhadap prestasi penyerang JDT, Jairo yang sekali lagi gagal menjaringkan gol.

Jairo (kiri) mensia-siakan beberapa peluang dalam aksi Piala Shopee menentang PKR Svay Rieng di Kemboja. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Beberapa siri aksi domestik dan peringkat Asia sebelum ini turut menunjukkan pemain import Brazil itu masih belum mencapai impak yang diharapkan jauh daripada penyudahan klinikal yang sering dipamerkan Bergson da Silva.

JDT merekrut Jairo pada jendela perpindahan lalu berbekalkan pengalaman luasnya di Eropah, dengan harapan dapat mengurangkan kebergantungan terhadap Bergson.

Namun selepas kira-kira enam bulan beraksi, prestasinya masih dilihat belum menyerlah meskipun telah meledak 10 gol dan mencipta tujuh bantuan jaringan dalam 20 penampilan.

Selain Jairo, dua lagi bekas penyerang JDT sebelum ini turut berdepan situasi serupa, menandakan cabaran berterusan pasukan dalam memastikan jentera serangan berada pada tahap optimum.

1. Jorge Obregon

Penyerang kelahiran Colombia, Jorge Obregon antara pemain yang boleh dianggap sudah lali dengan kritikan para penyokong tegar Harimau Selatan sepanjang tempoh singkat bersama JDT.

Walaupun hadir dengan reputasi yang baik, Obregon gagal menambat hati sebahagian besar penyokong yang merasakan kualitinya masih belum mencapai tahap rakan sepasukan, Bergson walaupun usianya lebih muda daripada penjaring terbanyak sepanjang zaman buat JDT itu.

Obregon turut berdepan kesukaran menempatkan diri dalam kesebelasan utama JDT dan sepanjang 18 penampilan, dia hanya mencatatkan tujuh gol dan dua bantuan jaringan, satu angka yang dianggap kurang memadai untuk seorang penyerang import.

Obregon kini kembali beraksi di Colombia bersama Rionegro Aguilas dalam saingan Liga Dimayor Finalizacion. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Untuk rekod, Obregon menyertai JDT pada Ogos 2024, namun perjalanannya bersama juara Liga Super itu tidak bertahan lama.

Menurut Transfermarkt, pemain berusia 28 tahun itu kini kembali beraksi di Colombia bersama Rionegro Aguilas dalam saingan Liga Dimayor Finalizacion.

2. Fernando Marquez

Pada 2018, skuad Harimau Selatan membawa masuk import dari Argentina, Fernando Marquez yang sebelum itu beraksi di kelab sekitar negara kelahirannya.

Kehadirannya diharapkan mampu menambah sengat dalam jentera serangan pasukan yang dibarisi pemain utama seperti Safawi Rasid, Jorge Pereyra Diaz dan Gonzalo Cabrera.

Namun, meskipun jumlah gol dicetak agak baik, gaya permainan Marquez secara keseluruhan dikritik kerana tidak gemar memberi tekanan terhadap pihak lawan.

Gaya permainan Marquez secara keseluruhan dikritik kerana tidak gemar memberi tekanan terhadap pihak lawan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Ini menyaksikan namanya kerap menjadi sasaran kritikan meskipun menamatkan musim 2018 dengan 11 gol dalam 16 penampilan dengan majoriti daripadanya hadir di pentas Liga Super.

Meskipun angka tersebut cukup baik, JDT memilih untuk tidak mengekalkan khidmatnya yang kemudian menyaksikan pemain itu pulang ke Amerika Selatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram