WAKIL Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT) 'berpeluh' sebelum meraih satu mata ketika menentang kelab Kemboja, PKR Svay Rieng pada aksi Piala Shopee di Phnom Penh pada Khamis.
Keputusan seri 2-2 yang direkodkan itu menyaksikan Harimau Selatan tercicir mata buat kali pertama selepas tiga aksi Kumpulan B manakala rekod tanpa bolos mereka dalam dua perlawanan turut lebur di Stadium Nasional Morodok Techno.
Pada aksi terbabit, tuan rumah menunjukkan kehebatan bermain di laman sendiri apabila berhasil mencetak gol menerusi Cristian Roque pada minit ke-29 dan Nhean Sosidan menyudahkan jaringan kedua.
BACA LAGI: Hanya sekali pernah berkunjung ke Kemboja, Nazmi Faiz-JDT sukar lupakan malam indah di Phnom Penh
BACA LAGI: Tonggak utama belum cukup rehat, 3 pemain JDT bersedia hadapi juara Kemboja
Harimau Selatan bagaimanapun berhasil bangkit daripada ketinggalan dengan dua gol pantas di hujung permainan menerusi Shane Lowry (m-92) dan Corbin Ong (m-96) untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Dua gol pada masa kecemasan berkenaan menyelamatkan maruah JDT di bumi Kemboja dengan aksi daripada pertahanan kental Harimau Selatan, Lowry paling mencuri perhatian.
Bek tengah dari Australia berkenaan mungkin sudah lama tidak beraksi, namun setiap kali namanya disenaraikan dan diturunkan, Lowry benar-benar komited membantu JDT.
Musim ini menyaksikan pemain berusia 36 tahun berkenaan hanya tampil dalam enam perlawanan termasuk tiga aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), membuktikan usianya kemungkinan menjadi halangan untuk menjadi tonggak utama.
Pengalamannya selama empat musim bersama juara 11 kali Liga Super berturut-turut berkenaan membuatkan Lowry menjadi figura yang dihormati di bilik persalinan Harimau Selatan.
Dengan pengalamannya sebagai bek senior, Lowry sering menjadi rujukan pemain muda dan pemain baharu, terutama dalam aspek disiplin, ketenangan serta mentaliti bertaraf juara.
Sejak menyertai JDT pada 2021, Lowry tidak pernah menunjukkan tanda berputus asa walaupun perlu bersaing dengan nama besar seperti Mauricio, Jordi Amat dan Aidil Zafuan.
Musim saban musim, Lowry juga berdepan cabaran hebat di posisinya dengan lambakan pilihan sama ada lokal mahupun import yang lebih digemari barisan kejurulatihan.
Malah, apabila dipanggil untuk diturunkan, bek berketinggi 1.90 meter itu sentiasa menghadirkan aksi yang stabil, dan ada kalanya menyelamatkan pasukan seperti yang berlaku di Phnom Penh.
Kurang minit permainan dan faktor usia sering mencetuskan spekulasi perpindahan, namun Lowry terus membuktikan bahawa dia masih aset penting khususnya dalam perlawanan berintensiti tinggi.
Aksi terbarunya menunjukkan bahawa peranan Lowry berada di kelas berbeza apabila semangat juangnya tidak luntur dan kebangkitannya di waktu kecemasan sekali lagi menyelamatkan pasukan daripada kekalahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
