Pernah menuntut di maahad tahfiz, Aria pemain e-sport MLBB wanita pertama mara ke EWC 2025


  • Sukses
  • Sabtu, 19 Jul 2025

Aria membuktikan kejayaannya di sebalik kesibukannya melanjutkan pengajian. — The Star

MESKIPUN terpaksa bergelut dengan masa menguruskan pengajian di New Zealand, Sharifah Alia Husna Syed Fakhrrurozi sekali lagi mencuri tumpuan ramai.

Sharifah Alia atau lebih dikenali sebagai Aria menjadi pemain sukan elektronik (e-sport) Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) wanita pertama yang mara ke pentas grand final dalam kempen Piala Dunia E-Sukan (EWC 2025).

Sebelum ini, Aria bersama rakan sepasukan dilaporkan mengejutkan para peminat e-sukan apabila berjaya mengunci kemenangan pada permainan pertama dalam tempoh 24 minit.

BACA LAGI: [VIDEO] Pilu hati ibu saksi anak kaku tak bernyawa akibat lemas jatuh parit di Shah Alam

BACA LAGI: Tahu sikap sebenar lepas kahwin, kaunseling bantu pasangan tangani krisis rumah tangga — Polis

Mungkin ramai tidak mengenali sosok Aria, wanita berusia 22 tahun itu sebenarnya sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Kewangan dan Pemasaran di sebuah universiti di New Zealand.

Aria juga dikhabarkan sedang dalam tempoh cuti semester dan berlapang dada menerima tawaran bermain di EXP bagi pasukan Amerika Syarikat, Gaimin Gladiators.

Dia juga tidak menafikan berdepan dengan tekanan sepanjang tiga minggu berlatih dalam posisi baharu itu.

Ditambah pula dengan persiapannya ke Piala Dunia E-Sukan Kejuaraan Jemputan Wanita MLBB (EWC-MWI) Riyadh 2025.

Siapa sangka, dengan usaha yang tidak putus selama tiga minggu itu akhirnya membantu Aria dan pasukannya ke Grand Final sekali gus mencatatkan rekod tersendiri sebagai pemain Malaysia wanita pertama ke peringkat tersebut.

Bukan itu sahaja, Aria sebelum ini pernah menyumbang pingat gangsa untuk Malaysia ketika Temasya Sukan SEA Kemboja 2023. 

Selain kemampuannya dalam dunia e-sukan, Aria juga tidak lupa untuk menuntut ilmu akhirat.

Aria juga merupakan seorang hafizah yang menghafaz kitab al-Quran sejak berusia 14 tahun ketika belajar di Maahad Tahfiz Al-Quran Sri Al Amin, Bangi, Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram