PELAJAR Malaysia, Balvinder Kaur Dhillon sekali lagi mencipta sensasi di pentas antarabangsa apabila muncul sebagai pelajar kejuruteraan pertama dan satu-satunya memenangi Global Undergraduate Award dalam kategori Kejuruteraan untuk dua tahun berturut-turut.
Pengiktirafan berprestij berkenaan sering digelar sebagai 'Hadiah Nobel Junior'.
Program anugerah akademik prasiswazah paling berprestij itu menerima 3,567 penyertaan tahun ini daripada 352 universiti merangkumi 99 negara.
BACA LAGI: Sopan tapi bergaya, ini jenama 'modest' lokal pilihan penggemar fesyen
BACA LAGI: Darah haid 'bocor' pada fabrik putih? Ini tip mudah hilangkan kesan degil
Menurut pengumuman rasmi Queen Mary University of London, projek Balvinder berada dalam 1% teratas dunia, menjadikannya antara penyertaan paling cemerlang secara global.
Kertas penyelidikan yang merangkul kemenangan tersebut bertajuk 'Developing a Multimodal Deep Learning Pipeline for Automated Glioma Subregion Segmentation and 3D Reconstruction with Integrated Spatial Analysis for Clinical Insight'.
Kajian itu menggabungkan kecerdasan buatan, robotik dan teknologi kesihatan, dan dilaksanakan ketika tahun akhir pengajian MEng Kejuruteraan Bioperubatan di Queen Mary University of London, di bawah seliaan Profesor Zion Tse dan Dr. Hadi Sadati.
Berkongsi mengenai perjalanan akademiknya, Balvinder berkata kepada Asia Samachar bahawa kejayaan bukan hadir secara mendadak, tetapi melalui konsistensi serta kerja berterusan.
"Kemajuan jarang datang daripada kejayaan mengejut. Ia lahir daripada langkah kecil yang berterusan serta rasa ingin tahu yang mencabar andaian dan melangkaui status quo," katanya.

Balvinder bersama Anugerah Prasiswazah Global dalam Kejuruteraan.
Berasal dari Teluk Intan, Perak, Balvinder baru-baru ini menamatkan pengajian dengan kepujian tertinggi dan kini melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dalam Human and Biological Robotics di Imperial College London.
Dengan kemenangan terbaharu ini, beliau kini berada dalam kelompok istimewa, hanya dua individu dalam sejarah Global Undergraduate Awards pernah menang dua tahun berturut-turut, dan Balvinder menjadi satu-satunya wakil dalam kategori Kejuruteraan yang mencapai pencapaian tersebut.
Balvinder menjelaskan bahawa kedua-dua karya penyelidikannya dalam dua tahun terakhir merentasi bidang berlainan dalam kejuruteraan bioperubatan iaitu biomaterial dan pembelajaran mesin, namun masing-masing melalui proses penyelidikan panjang dan teliti.
Beliau turut menegaskan bahawa pencapaian akademik tidak seharusnya dianggap luar biasa, tetapi bukti apa yang boleh dicapai apabila masyarakat melabur dalam bakat dan persekitaran yang menyuburkan potensi.
"Komuniti kita mempunyai sejarah panjang inovasi seperti Narinder Singh Kapany, bapa gentian optik dan Harvinder Sahota, pencipta rawatan stent moden. Legasi ini tidak harus hanya diraikan, tetapi diteruskan," jelasnya.
Balvinder ketika membentangkan hasil kerja QM Cybathlon di Parlimen Britain.
Balvinder berharap kejayaannya mampu mencetus inspirasi kepada generasi muda Sikh untuk menetapkan impian lebih tinggi, sama ada dalam sains, seni ataupun dunia startup.
Beliau turut menggesa organisasi dan keluarga memberi sokongan penuh kepada anak muda dalam menghadapi dunia yang semakin kompleks dan penuh perubahan.
"Satu-satunya batasan sebenar ialah yang kita letakkan dalam minda sendiri. Kekal ingin tahu, cabar status quo dan beranilah menembusi ruang di mana kita kurang diwakili," katanya.
Beliau menambah, jika kisahnya mampu memberi inspirasi walaupun kepada seorang anak muda Sikh untuk percaya bahawa ruang akademik dan teknologi peringkat global dapat dicapai, maka itu sudah menjadi satu kemenangan yang bermakna baginya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
