POLIS mengesahkan penyanyi rap kontroversi Malaysia, Namewee dilaporkan menjadi individu terakhir yang dilihat bersama pempengaruh (influencer) terkenal Taiwan, Hsieh Yun Hsin, sebelum wanita itu ditemui meninggal dunia pada 22 Oktober.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan hasil siasatan mendapati Namewee merupakan individu terakhir yang dilihat bersama mangsa berusia 31 tahun itu pada pukul 1.40 tengah hari di sebuah bilik hotel di Jalan Conlay.
"Dia kemudiannya telah ditahan atas dakwaan memiliki dan menggunakan dadah, namun dibebaskan selepas mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkaitan dadah di Mahkamah Jalan Duta pada 24 Oktober,” katanya pada Selasa.
BACA LAGI: Kematian pempengaruh Taiwan disyaki ada kaitan dengan penyanyi rap kini diklasifikasikan kes bunuh
BACA LAGI: Generasi lupa daratan, 5 kontroversi rasis pernah gegarkan negara
Fadil berkata, kes tersebut pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun kini telah ditukar kepada kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas penemuan beberapa unsur mencurigakan.
"Siasatan sedang dijalankan dari pelbagai sudut, termasuk melibatkan individu terakhir yang bersama mangsa. Kami akan meneliti semua pergerakan mangsa dan suspek bagi menentukan sama ada dia terlibat atau tidak," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa polis telah merakam keterangan kakitangan hotel serta petugas keselamatan, selain sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjejak pergerakan mangsa dari lapangan terbang hingga ke hotel berkenaan.
Sebelum ini, Fadil memaklumkan bahawa pihaknya sedang menyemak semula pergerakan mangsa dan individu terakhir yang dilihat bersamanya sebelum kematian pada 22 Oktober.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.
"Kami akan meneliti semula semua pergerakan mangsa serta suspek yang telah dikenal pasti. Penahanan dijangka dibuat dalam masa terdekat, dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya lagi.
Fadil turut memaklumkan bahawa mangsa tiba di Malaysia pada 20 Oktober dan dijadualkan pulang pada 24 Oktober.
Beliau menambah, laporan bedah siasat dan toksikologi masih belum diperoleh dan punca kematian masih dalam siasatan.
"Masih terlalu awal untuk mendedahkan punca sebenar kematian. Laporan bedah siasat dan toksikologi akan memberikan gambaran yang lebih jelas nanti," katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu supaya tampil membantu siasatan.
"Kami amat memerlukan bantuan orang awam. Sesiapa yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak polis," katanya.
Untuk rekod, mayat Hsieh ditemui dalam tab mandi pada pukul 1.40 tengah hari, 22 Oktober, sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Pada 2 November, Namewee tampil menafikan penggunaan dadah dan sebarang pembabitan dalam kematian Hsieh Yun Hsin. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
