Masih ada peranan, Selangor boleh jadi 'kingmaker' walaupun sudah tersingkir


  • Podium
  • Selasa, 09 Dis 2025

Selangor kalah 2-4 kepada LCS pada perlawanan terdahulu di Singapura.

PERJALANAN Selangor FC di Liga Juara-Juara AFC 2 (ACLTwo) sudah berakhir selepas mereka gagal meraih mata yang diperlukan untuk mara ke pusingan seterusnya.

Gergasi Merah bagaimana pun berbaki satu lagi aksi menentang wakil Singapura, Lion City Sailors (LCS) dengan mereka akan bermain di laman sendiri pada Rabu.

Walaupun sekadar perlawanan pelengkap jadual, namun Selangor masih lagi mempunyai peranan sebagai 'kingmaker' dalam menentukan nasib LCS yang masih mengintai peluang untuk mara.

BACA LAGI: Roslin Hashim kini jurulatih Mesir, pikul tugas berat bawa pemain keluar zon selesa

BACA LAGI: Safuwan Baharudin boleh jadi penentu musim Gergasi Merah

Nasib LCS ditangan Selangor

Walaupun mempunyai bilangan mata lebih banyak berbanding Selangor, nasib LCS sebenarnya masih lagi dalam kawalan Gergasi Merah.

Hal ini kerana, hasil dariapda perlawanan pada Rabu akan menentukan sama ada LCS akan mara atau mengikut langkah Selangor pulang awal dari kejohanan.

Selangor masih ada peranan dalam penentuan ke pusingan kalah mati ACLTwo.

Dalam aksi pada Rabu, LCS mesti menewaskan Selangor untuk memastikan segala peluang untuk mara masih menyala sekali gus cuba memintas Bangkok United yang berada di kedudukan kedua.

Namun begitu, menang lawan Selangor saja tidak cukup untuk LCS kerana mereka masih perlukan mengharapkan faktor lain memihak mereka.

Wajib menang, wajib kalah

Selain wajib menang, LCS perlu mengharapkan tuah memihak mereka apabila Bangkok berdepan Persib Bandung pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

Di saat LCS wajib menang, Bangkok pula mesti kalah untuk membolehkan finalis ACLTwo musim lalu itu masih dapat layak ke pusingan seterusnya.

LCS wajib kalahkan Selangor sambil harapkan Bangkok United tumpas kepada Persib Bandung.

Hal ini kerana, perbezaan tiga mata antara LCS dan Bangkok menjadi punca kenapa situasi sebegini mesti berlaku untuk memberikan kelebihan kepada kelab Singapura itu.

Seandainya Bangkok dan Persib mendapat keputusan seri, LCS tidak akan layak waima menang 10-0 ke atas Selangor.

Laluan tak mudah

Namun begitu, Selangor yang beraksi di laman sendiri sudah pasti tidak mahu memberikan sebarang harapan kepada LCS untuk mara.

Dengan beraksi di depan penyokong sendiri, Selangor harus menang untuk memberikan sesuatu yang positif untuk penyokong selepas musim mengecewakan di kejohanan Asia.

Chrigor (kanan) boleh menghampakan LCS.

Tiga mata yang diraih mungkin tiada makna, namun ia boleh membantu Malaysia membaiki ranking MA AFC untuk musim depan.

Perjuangan Selangor di Asia mungkin sudah berakhir, namun nasib LCS akan ditentukan oleh mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram