Tamatkan penantian 6 tahun di Sukan SEA, pasukan wanita badminton bawa pulang gangsa


  • Podium
  • Isnin, 08 Dis 2025

Skuad badminton berpasukan wanita negara tunduk 2-3 kepada Indonesia dalam aksi separuh akhir Sukan SEA Thailand 2025 pada Isnin.

PEMAIN badminton negara, Wong Ling Ching mencipta kejutan besar apabila menewaskan pemain nombor 10 dunia, Gregoria Mariska, namun ia masih belum cukup untuk menghalang Malaysia tewas 2-3 kepada Indonesia dalam separuh akhir berpasukan wanita di Sukan SEA.

Pemain nombor 44 dunia itu, yang beraksi dalam acara perseorangan kedua, bermain cemerlang untuk menumpaskan Gregoria 22-20, 15-21, 21-16 dalam tempoh 66 minit di Universiti Thammasat, Pathum Thani pada Isnin.

Kemenangan bermakna itu meletakkan Malaysia di hadapan 2-1 selepas nasib berbeza dialami pemain nombor 42 dunia, K. Letshanaa dan pasangan pemenang perak Kejohanan Dunia, Pearly Tan-M. Thinaah dalam perseorangan pertama dan beregu pertama masing-masing.

BACA LAGI: Jika terlalu serius cedera, Zii Jia perlu pertimbang bersara — Legenda badminton negara

BACA LAGI: Roslin Hashim kini jurulatih Mesir, pikul tugas berat bawa pemain keluar zon selesa

Letshanaa tewas 9-21, 10-21 kepada pemain nombor tujuh dunia, Putri Kusuma sebelum Pearly-Thinaah mengikat kedudukan dengan menewaskan Rachel Allessya-Febi Setianingrum 21-14, 17-21, 21-16.

Namun dalam acara beregu kedua, kapten pasukan merangkap pemain beregu campuran, Toh Ee Wei digandingkan bersama Go Pei Kee, gagal menemui rentak dalam peranan yang tidak biasa baginya dan tewas 10-21, 9-21 kepada pasangan Febriana Dwipuji-Meilysa Puspitasari.

Tanggungjawab untuk menyelamatkan Malaysia kemudian digalas pemain nombor 91 dunia, Siti Zulaikha Azmi, namun pemain berusia 19 tahun itu akur dengan kekalahan 18-21, 16-21 kepada pemain nombor 76 dunia, Mutiara Ayu.

Kekalahan tipis itu menyaksikan Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.

Bagaimanapun, prestasi skuad kali ini dianggap lebih baik selepas tersingkir di suku akhir pada dua edisi terdahulu di Vietnam (2021) dan Kemboja (2023). — The Star/R. KIRUBASHINI

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram