KEMEROSOTAN prestasi Sabah FC semakin ketara apabila pasukan itu gagal keluar daripada kelompok bawahan liga.
Corak permainan yang tidak konsisten, kesilapan mudah dalam pertahanan, dan keputusan yang tidak memihak kepada mereka sepanjang musim ini meletakkan Jean-Paul dalam situasi paling genting sejak mengambil alih pasukan.
Manakan tidak, dengan tekanan yang semakin memuncak dari pengurusan dan penyokong, masa depan jurulatih itu kini menjadi persoalan besar dalam usaha Sabah untuk kembali kompetitif.
BACA LAGI : Gagal kawal nafsu dan baran, FAM ada sejarah gantung 2 pemain Liga M seumur hidup
BACA LAGI : Piala FA: Aksi terbesar dalam sejarah Kuching City, usah terlalu hormati JDT

Jean-Paul perlu berusaha keras dan melakukan sesuatu bagi memujuk dan mengambil hati penyokong ketika menjelang aksi Liga Super menentang Penang FC. — Sabah FC
Apatah lagi, prestasi skuad Badak sepanjang musim ini dianggap tidak memuaskan, malah ibarat ‘yoyo’ sekejap naik, kemudian merudum tanpa arah yang jelas sehingga menimbulkan rasa muak dalam kalangan penyokong setia.
Bayangkan, selepas lapan perlawanan dalam Liga Super, tiada satu kemenangan yang direkodkan sehingga timbul persoalan mana skuad Sang Badak yang dahulu.
Harapan penyokong setinggi Gunung Kinabalu, tetapi pasukan itu sendiri semakin longlai walaupun mempunyai barisan pemain yang mantap.
Sudah tentu, ramai yang akan mempertikaikan jurulatih yang berasal dari Australia itu.
Justeru itu, Jean-Paul perlu berusaha keras dan melakukan sesuatu bagi memujuk dan mengambil hati penyokong ketika menjelang aksi Liga Super menentang Penang FC di Stadium Likas di Kota Kinabalu, Sabah Ahad ini.
1. Manfaatkan masalah konsistensi Penang

Penyokong berharap Sabah FC mampu membuat kejutan ketika menentang Penang FC pada Ahad ini. — Sabah FC
Inilah masanya Jean-Paul mengambil peluang terbaik untuk Sabah bangkit kerana skuad Harimau Kumbang turut berdepan isu konsistensi.
Walaupun skuad Harimau Kumbang memiliki barisan pemain yang berpengalaman, prestasi mereka sepanjang musim ini kerap naik turun, sekali gus membuka ruang untuk Sabah meraih kemenangan penting.
Jean-Paul dan pasukannya perlu bijak membaca corak permainan lawan, menumpukan fokus terhadap kelemahan mereka, dan memaksimumkan kelebihan beraksi di laman sendiri.
2. Rekod memalukan selepas beberapa musim mencabar

Skuad Sang Badak pernah menjadi kebanggaan negeri kini dilihat gagal mengekalkan momentum, dengan keputusan buruk dalam liga tempatan menjadi sinonim setiap kali musim baru bermula. — Sabah FC
Prestasi Sabah FC bukan sahaja mengecewakan musim ini, malah ia mencerminkan trend negatif sejak beberapa musim kebelakangan.
Begitupun, mereka tidak pernah membuka kempen dengan seteruk ini apabila mengalami kekalahan demi kekalahan dengan keputusan seri juga belum cukup memuaskan.
Pasukan yang pernah menjadi kebanggaan negeri kini dilihat gagal mengekalkan momentum, dengan keputusan buruk dalam liga tempatan menjadi sinonim setiap kali musim baru bermula.
Kegagalan meraih kemenangan awal menimbulkan keraguan terhadap kemampuan pasukan untuk kembali bersaing di peringkat atas liga, sekali gus menimbulkan tekanan tambahan terhadap barisan pemain dan pengurusan.
Situasi ini menambah berat cabaran Sabah ketika berdepan Penang FC dengan rekod yang memalukan dan tekanan daripada penyokong, skuad Jean-Paul tidak boleh lagi berkompromi.
Tiga mata pada aksi itu bukan sekadar penting untuk memperbaiki kedudukan liga, malah ia menjadi peluang untuk membuktikan bahawa Sabah masih mampu kembali bangkit selepas beberapa musim penuh cabaran.
3. Masih tiada identiti permainan

Sabah FC jelas masih mencari identiti permainan yang konsisten. — Sabah FC
Selain daripada keputusan buruk, Sabah FC jelas masih mencari identiti permainan yang konsisten.
Corak taktikal pasukan sering berubah-ubah dari satu perlawanan ke perlawanan lain, manakala pertahanan yang longgar dan serangan yang tidak terancang mewujudkan jurang dalam prestasi keseluruhan.
Kekurangan struktur dan visi jelas dalam permainan pasukan menyukarkan mereka untuk membina momentum, sekali gus memberi ruang kepada lawan untuk mengambil peluang.
Penyokong pula terus tertanya-tanya sama ada skuad Badak mampu menampilkan corak permainan mantap yang pernah menjadi kebanggaan mereka.
Perlawanan menentang Penang FC menjadi detik penting bagi Sabah FC untuk memulihkan keyakinan penyokong dan menamatkan musim suram mereka.
Jean-Paul perlu segera membuktikan kemampuan taktikalnya, manakala pemain pula harus menampilkan semangat juang tinggi bagi membalikkan nasib skuad Badak.
Sekiranya gagal, tekanan terhadap jurulatih dan pasukan akan terus memuncak, meninggalkan masa depan Jean-Paul menjadi tanda tanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
