Kita boleh raih 3 mata tapi pemain kurang bersungguh jaringkan gol — Badrul


  • Podium
  • Ahad, 07 Dis 2025

Badrul berkata, pasukannya mempersembahkan aksi hambar pada separuh masa pertama. — Facebook/TFC

SENTIASA mengutip tiga mata dalam setiap perlawanan adalah kunci untuk Terengganu FC (TFC) kekal dalam kelompok lima teratas Liga Super, dan keputusan seri 1-1 menentang Kuching City FC baru-baru ini nyata tidak memuaskan hati ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali.

Skuad Penyu terpaksa bekerja keras di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidi, Gong Badak, Terengganu pada Jumaat lalu apabila mereka bangkit daripada ketinggalan untuk sekadar meraih satu mata di laman sendiri menentang Kuching.

Badrul berkata, pasukannya mempersembahkan aksi hambar pada separuh masa pertama, gagal mencipta peluang untuk menjaringkan gol.

BACA LAGI: 'Tak konsisten dan tiada perancangan, ke mana hala tuju sebenar Terengganu FC?'

BACA LAGI: Kim Swee tinggalkan Persik Kediri, Terengganu dan Sabah wajar segera 'buka tangan'

“Kita sepatutnya boleh dapat tiga mata, tetapi para pemain tidak menunjukkan kesungguhan untuk mencari gol pada separuh masa pertama.

“Jadi sebelum separuh masa kedua bermula, saya terpaksa memberi ‘wake-up call’ kepada pasukan kerana jika mereka bermain dengan cara yang sama, kita akan kalah,” katanya.

Kuching menambah tekanan terhadap Terengganu pada waktu rehat apabila pemain tengah Namibia, Petrus Shitembi menjaringkan gol pada minit ke-44.

Selepas asakan berterusan pada separuh masa kedua, Terengganu akhirnya menemui gol penyamaan menerusi pemain gantian, Engkur Mohd Nur Syakir Engku Yakob yang menjaringkan gol pada masa kecederaan untuk menyelamatkan satu mata buat tuan rumah.

“Kuching adalah pasukan yang kuat dan jika kita beri mereka ruang dan peluang untuk menyerang, kita akan dihukum.

“Kita perlukan tiga mata kerana dalam Liga Super, itu penting untuk kekal di lima teratas,” tambah Badrul.

Ia merupakan keputusan seri kedua berturut-turut Terengganu dalam Liga Super selepas mereka turut sekadar meraih satu mata menentang Negeri Sembilan FC bulan lalu.

Terengganu kini berharap dapat kembali ke landasan kemenangan apabila mereka bertemu Imigresen FC pada 19 Disember. Mereka kini berada di kedudukan kelima dengan 15 mata.

Sementara itu, jurulatih Kuching, Aidil Sharin Sahak berkata, satu mata yang dibawa pulang adalah memadai bagi skuad The Cats memandangkan mereka berdepan pasukan kuat seperti Terengganu di laman lawan.

“Terengganu bukan pasukan yang mudah ditundukkan, tetapi para pemain memberikan usaha terbaik mereka.

“Kita dapat satu mata menentang Terengganu. Alhamdulillah, kita berjaya dapat mata itu dan kini akan memberi tumpuan kepada perlawanan seterusnya,” tambahnya.

Perlawanan Liga Super seterusnya bagi Kuching akan menyaksikan mereka melayan kunjungan Melaka di Stadium Sarawak pada 19 Disember. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram