'Tahap kritikal dah', aksi longlai di Kemboja sekali lagi punca Jairo sasaran kritikan


  • Podium
  • Jumaat, 05 Dis 2025

Jairo mensia-siakan beberapa peluang dalam aksi Piala Shopee menentang PKR Svay Rieng di Kemboja. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

DUA gol lewat daripada Shane Lowry dan Corbin Ong menyelamatkan Johor Darul Ta'zim (JDT) daripada mengalami kekalahan kepada PKR Svay Rieng dalam saingan Piala Shopee di tempat lawan pada Khamis.

Dalam perlawanan itu, benteng skuad Harimau Selatan terlebih dahulu ditembusi dua kali menerusi jaringan Cristian Roque pada minit ke-30 sebelum derita itu digandakan lapan minit hasil gol Nhean Sosidan.

Tersentak akibat jaringan pasukan Kemboja itu, JDT mula menggandakan usaha, namun setiap gerakan cuba dirangka sukar menembusi pertahanan tuan rumah.

BACA LAGI: Walaupun lambat panas 'enjin', Jairo kini dapat bayar semula kesabaran penyokong JDT

BACA LAGI: Angka tak menipu, Jairo buktikan diri mampu jadi aset utama JDT walau kerap dikritik

Shane Lowry (dua dari kanan) menjaringkan gol penyamaan buat skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Usaha ditonjolkan mula membuahkan hasil memasuki masa kecederaan perlawanan apabila kedua-dua pemain gantian berkenaan hadir sebagai wira JDT.

Dua gol yang dicetak mengelak skuad Harimau Selatan daripada mengalami kekalahan pertama di pentas Piala Shopee musim ini dan kekal di tangga teratas Kumpulan B.

Meskipun membawa pulang satu mata, keputusan tersebut belum cukup memuaskan buat penyokong JDT yang beranggapan pasukan Selatan tanah air itu seakan-akan tewas di Kemboja.

Kekecewaan turut ditujukan kepada penyerang utama, Jairo da Silva yang sekali lagi tampil dengan aksi mengecewakan sebagai fokus utama dalam jentera serangan pasukan.

Sepanjang perlawanan, import Brazil itu memiliki beberapa peluang keemasan, namun gagal memanfaatkan pergerakan untuk mencetak gol lebih awal buat skuad Harimau Selatan.

Jairo dibawa masuk dengan harapan menggunung daripada semua pihak. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Persembahan mengecewakan berkenaan membuatkan pemain berusia 33 tahun berkenaan sekali lagi menjadi topik utama dalam kalangan penyokong jaguh bola sepak tempatan itu.

"Alhamdulillah seri walaupun memang geram tengok gaya permainan. Jairo sudah tahap kritikal itu, takut tengok ada pemain seperti ini dalam JDT.

"Paling saya hormat adalah Heberty dan Corbin Ong sebab dua-dua ini paling nampak bersungguh nak cari jaringan. Pemain terbaik malam ini (Khamis) merupakan Shane Lowry," kata Merah Hitam.

"Sampai nak kena guna pemain pertahanan untuk skor dan cipta jaringan. (Moussa) Sidibe dan Jairo tu membebankan. Bagi percuma kepada kelab lain pun mereka tidak mahu," kata Khairul Fahmi.

Pengalaman luas dimiliki Jairo di Eropah membuatkan JDT menyambar khidmatnya pada jendela perpindahan lalu dengan misi mengurangkan kebergantungan terhadap Bergson da Silva.

Namun, selepas kira-kira enam bulan beraksi, persembahan ditampilkan masih belum memuaskan meskipun sudah mencetak 10 gol dan tujuh bantuan jaringan daripada 20 penampilan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram