HARIMAU Malaya kembali mengetengahkan jersi ketiga berwarna biru keluaran jenama terkemuka, Puma, sekali gus mengembalikan nostalgia serta kegemaran ramai penyokong yang menganggap warna itu sebagai kit bertuah skuad kebangsaan.
Pengumuman itu menampilkan beberapa tonggak Harimau Malaya seperti Arif Aiman Hanapi, Dominic Tan, Corbin Ong dan Ubaidullah Samsul sebagai wajah utama bagi mempromosikan jersi terbaharu itu, yang bakal digunakan sehingga tahun 2026.
Lebih menarik, jersi alternatif berkenaan hadir dengan warna biru sebagai warna asas, diserikan dengan elemen grafik merah dan putih yang memberikan sentuhan moden serta identiti segar.
BACA LAGI: Jangan bunuh bola sepak kita — Safee Sali
Padanan seluar putih dan stokin merah pula melengkapkan gaya keseluruhan, menjadikannya gabungan warna berinspirasikan Jalur Gemilang yang terpapar jelas di dada pemain.
Untuk rekod, kali terakhir skuad Harimau Malaya menggunakan jersi biru adalah pada musim 2018 hingga 2019 sebelum hitam dipilih sebagai warna alternatif rasmi untuk Malaysia.
Dalam kalangan penyokong, jersi biru terus menjadi pilihan sentimental kerana dianggap membawa tuah kepada Harimau Malaya terutama dalam beberapa kemenangan penting sebelum ini.
Imbauan berkenaan paling kuat dirasai apabila kembali mengingati tahun 2019, ketika Harimau Malaya menutup musim berkenaan sebagai antara tahun terbaik bola sepak negara.
Ini selepas skuad negara mengalami kemerosotan prestasi pada tahun sebelumnya sehingga berada di ranking lebih 170 dunia, yang merupakan kedudukan terburuk dalam sejarah Harimau Malaya.
Kemudian, Malaysia mencatat sembilan kemenangan daripada 13 perlawanan, termasuk empat kemenangan ke atas pasukan ranking lebih tinggi seperti Afghanistan, Nepal, Tajikistan dan musuh tradisi, Thailand.
Ketika itu, jersi biru seakan menjadi saksi kepada kebangkitan Malaysia yang hampir memastikan slot automatik ke Piala Asia 2023 setelah penantian lebih 40 tahun.
Namun bagi kebanyakan penyokong lama, memori paling indah bersangkut paut dengan satu era terbaik bola sepak negara iaitu ketika di bawah kejurulatihan K. Rajagopal, atau 'King Gopal' bersama skuad Harimau Muda dan skuad senior antara 2007 hingga 2012.

Rajagopal antara jurulatih terbaik Malaysia pernah miliki. — MFL
Berbanding kuning, warna biru pada zaman berkenaan seolah-olah menjadi identiti tidak rasmi Harimau Malaya apabila sering menjadi pilihan sebagai kit rasmi perlawanan penting.
Ia warna yang dilihat ketika skuad negara menamatkan kemarau 20 tahun dengan pingat emas Sukan SEA 2009, hasil kemenangan dramatik 1-0 ke atas Vietnam.
Ia juga warna yang terpahat dalam ingatan ketika Malaysia muncul juara Piala AFF 2010 buat kali pertama, menewaskan Indonesia dalam perlawanan akhir yang kini dianggap detik keramat bola sepak Malaysia.
Kini, dengan kembalinya jersi biru, penyokong seakan diberi peluang kedua untuk merasa semula aura dan naratif yang pernah memahat tempat istimewa dalam sejarah Harimau Malaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
