Pelajar sekolah perempuan teruja sambut kunjungan David Beckham, 'join' aktiviti tanam pokok, latihan bola sepak


  • Bonda
  • Jumaat, 28 Nov 2025

Kunjungan David Beckham ke sebuah sekolah di wilayah Andhra Pradesh disambut meriah oleh para pelajar. — Agensi

SUASANA di Sekolah Persatuan Institusi Pendidikan Kebajikan Kelas Mahatma Jyotiba Phule (MJPAPBCWREIS) Andhra Pradesh, India bertukar meriah apabila pelajar perempuan menerima kunjungan daripada legenda bola sepak dunia, David Beckham pada Rabu.

Bekas kapten bola sepak England itu yang juga duta Tabung Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), hadir meninjau pelaksanaan Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) dan kaedah pendidikan di sekolah-sekolah luar bandar India.

Kehadirannya turut menyumbang kepada usaha pembaharuan pendidikan yang dijalankan melalui kerjasama Mantra4Change bersama Education Above All (EAA).

BACA LAGI: [VIDEO] Rumah dinaiki banjir, 2 wanita selamatkan singa peliharaan nyaris hanyut dibawa arus

BACA LAGI: 'Tolonglah, jangan buli staf KKM', doktor luah penat hadap waris tinggi suara, gesa aktifkan 'Code Grey

Dalam lawatan berlangsung selama empat jam tersebut, Beckham memulakan kunjungan dengan mengikuti sesi PBL yang dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar di situ.

Beliau kemudiannya dibawa ke ruang pameran kecil dan dipamerkan beberapa projek dalam subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Setiap projek menonjolkan pendekatan PBL yang menggalakkan pelajar mencipta penyelesaian daripada model sistem air setempat hingga ke sistem yang membantu pembelajaran.

Para pelajar di situ dalam masa sama turut mengajak Beckham menyertai aktiviti pertanian dan tanaman pokok.

Pada sesi itu, setiap anak pokok direkod menggunakan sistem pengecaman digital, salah satu elemen teknologi yang disepadukan dalam program tersebut.

Lawatan berakhir dengan sesi latihan bola sepak di padang sekolah, di mana Beckham disambut sorakan gemuruh pelajar yang teruja melihat ikon sukan itu beraksi bersama mereka.

Menerusi catatan di Instagram, Beckham menyifatkan kunjungannya sebagai pengalaman yang menyentuh hati sambil memberi sokongan penuh kepada pendekatan pembelajaran berasaskan projek diterapkan di sekolah tersebut.

P. Madhavi Latha, Setiausaha MJPAPBCWREIS, menyatakan rasa bangga atas pemilihan sekolah mereka sebagai lokasi lawatan tokoh antarabangsa tersebut.

"Kehadiran David Beckham menjadi peringatan bahawa usaha yang dilakukan dengan niat dan dedikasi, perkara luar biasa boleh berlaku walaupun di kawasan seperti Kothavalasa," katanya.

Inisiatif PBL capai 18,000 pelajar

Melalui kerjasama Mantra4Change, Persatuan MJP dan Education Above All, pendekatan PBL telah disepadukan di 107 buah sekolah sekitar wilayah Andhra Pradesh.

Selain itu, usaha tersebut turut memberi manfaat kepada sekitar 18,000 pelajar dan telah meningkatkan kapasiti 107 pemimpin sekolah dalam melaksanakan pendidikan yang lebih interaktif.

Menurut Santosh More, pengasas bersama Mantra4Change, lawatan Beckham memberi inspirasi dan keyakinan baharu bahawa inovasi pendidikan perlu diperluaskan di sekolah-sekolah kerajaan.

"Pembelajaran Berasaskan Projek meningkatkan aspirasi pelajar dan detik seperti ini menaikkan semangat kami untuk bekerjasama dengan kerajaan serta komuniti agar pendekatan sebegini menjadi norma," jelasnya.

Gerakan nasional Shikshagraha

Kunjungan itu turut mengukuhkan sokongan terhadap Shikshagraha, sebuah gerakan nasional yang sedang digerakkan Mantra4Change bersama masyarakat bagi menambah baik sekolah-sekolah awam di seluruh India.

Dengan lawatan figura global seperti Beckham, usaha pembaharuan itu bukan sahaja mendapat perhatian antarabangsa, tetapi juga memberikan inspirasi kepada pelajar luar bandar bahawa pendidikan berkualiti mampu dimiliki tanpa mengira latar belakang mahupun lokasi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram