PEMINAT bola sepak tempatan sudah tentu tidak dapat melupakan nama pertahanan kebangsaan Vietnam, Doan Van Hau yang terkenal dengan reputasi nakal di atas padang.
Insiden yang menyaksikannya menyiku bek kanan negara, Azam Azmi Murad dalam aksi Piala AFF 2022 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi merupakan salah satu momen paling diingati hingga hari ini.
Malah, dalam perlawanan sama, pemain itu turut melakukan kekasaran ke atas Sharul Nazeem Zulpakar yang bagaimanapun tidak dihukum sama sekali.
BACA LAGI: Van Hau terus 'bernyawa', Vietnam tunggu Harimau Malaya di final
BACA LAGI: Pemain Vietnam tak serik, sekali lagi 'play victim' ketika berdepan Indonesia

Van Hau (kiri) melakukan kesalahan yang langsung tidak dihukum pengadil.
Van Hau sekali lagi menjadi topik perbualan hangat dalam perlawanan itu selepas lakonannya menyaksikan Azam Azmi dilayangkan kad merah dalam insiden berlaku di luar padang.
Imejnya sebagai 'pemain kotor' tersebut kekal diingati sehingga hari ini dengan penyokong sentiasa menantikan peluang untuk menyaksikan balasan di atas padang.
Tetapi, lain pula kisah berlaku apabila Van Hau mengalami kecederaan buku lali yang menghalangnya daripada beraksi untuk kira-kira dua tahun.
Isu berkenaan menyaksikan kelibatnya terus dirindukan sekitar Asia Tenggara sehingga ada beranggapan kariernya sudah berakhir akibat masalah itu.

Van Hau kembali ketika membantu CAHN FC mengikat Buriram United di tempat lawan. — Facebook/ASEAN United FC
Bagaimanapun, penantian untuk melihatnya kembali ke atas padang berakhir selepas dia turun beraksi buat CAHN FC ketika berdepan Buriram United dalam saingan Piala Shopee pada Rabu.
Dalam perlawanan terbabit, pengendali kelab Vietnam itu, Alexandre Polking meletakkan Van Hau dalam kesebelasan utama meskipun sudah kira-kira 25 bulan tidak bermain.
Malah, pemain berusia 26 tahun terbabit dapat menampilkan aksi memuaskan apabila beraksi 90 minit bagi mengekang pergerakan juara bertahan Piala Shopee itu.
Keputusan berkenaan sedikit sebanyak membantu pasukan berkenaan meraih satu mata penting dalam aksi yang berkesudahan seri 1-1 di Thailand.
Sekiranya dapat beraksi dengan kerap dan mengelak daripada sebarang isu kecederaan, Van Hau sudah tentu berpeluang kembali ke dalam skuad kebangsaan Vietnam.
Kepulangannya juga amat dinanti-nantikan penyokong negara Asia Tenggara itu menjelang aksi getir kempen Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Harimau Malaya pada Mac depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
